BINTANG skuasy wanita negara S Sivasangari menjuarai Kejohanan Individu Kolej Kebangsaan, Persatuan Skuasy Kolej (CSA) di Amerika Syarikat (AS) sekali gus merangkul kemenangan individu pertamanya buat Universiti Cornell.
Dalam perlawanan akhir kejohanan yang berlangsung pada Ahad di Pusat Skuasy AS Arlen Spectre, Philadelphia itu, Sivasangari memperoleh kemenangan 3-2 menentang Hana Moataz dari Universiti Harvard.
Pemain berusia 23 tahun itu memperoleh kemenangan 11-4, 2-11, 11-9, 12-14, 11-7 untuk melengkapkan musim dengan sempurna menerusi rekod 19-0.
Jurulatih Universiti Cornell David Palmer yang meramalkan perlawanan akhir yang sengit, memuji pemain Malaysia itu kerana mempamerkan semangat juang yang tinggi.
"Sivasangari bermula dengan hebat dan menguasai sepenuhnya permainan pertama. Hana kemudian bangkit dalam set seterusnya dengan memberikan beberapa pukulan yang kuat, dan kedua-dua mereka terbabit dalam beberapa rali yang hebat.
"Dalam perlawanan set kelima, Sivasangari benar-benar mengerahkan lawannya ke seluruh gelanggang, dan kami dapat melihat Hana mulai letih. Ketika itulah, Siva memperlahankan rentak dan menonjolkan pergerakannya yang perlahan dengan beberapa pukulan sudut yang hebat untuk meraih mata, dah akhirnya berjaya memperoleh mata kemenangan.
"Kami benar-benar berbangga dengan cara Siva mengawal kekuatan mentalnya semasa set kelima. Itulaa yang membuat dia berbeza sehingga akhir perlawanan," katanya dipetik menerusi portal sukan universiti itu, www.cornellbigred.com.
Pemain dari Kedah itu mempunyai rekod cemerlang dalam pertandingan itu, menang straight set ke atas Andrea Lee dari Colby University (11-3, 11-4, 11-2), Alina Bushma dari Drexel University (11-7, 11-5, 11-4) dan Marina Stefanoni dari Harvard (11-5, 12-10, 11-9).
Kejohanan Individu Kolej Kebangsaan CSA berlangsung dari 4 hingga 6 Mac. - Bernama