Hubungan China, Asean tiada batas: Wang Yi

Iklan
Wang Yi. - Foto AFP

BEIJING - Hubungan China dan Asean sentiasa baik dan menjalinkan kerjasama saling menguntungkan, serta menjadi penanda aras kesepakatan serantau yang paling berpotensi dan dinamik.

Ahli Dewan Negara China merangkap Menteri Luar, Wang Yi, berkata demikian dalam taklimat media sempena sidang tahunan Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) yang berlangsung Isnin lepas.

Iklan
Iklan

Beliau turut melihat hubungan China-Asean tiada batas dan pasti akan terus berkembang.

Menurutnya, China dan Asean mempelopori kerjasama serantau apabila menjalin hubungan dialog pada 30 tahun lepas.

Iklan

"Kini, jalinan perkongsian strategik menyeluruh kedua-dua pihak pula menjadi contoh persahabatan antara negara jiran.

"China bersedia berusaha bersama dengan Asean ke arah komuniti berkongsi nasib yang lebih rapat demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Iklan

Beliau menegaskan, China akan terus menjadikan Asean sebagai keutamaan dalam usaha diplomasi, di samping mempertahankan kerangka kerjasama serantau yang berpaksikan Asean, memelihara ketenteraman serantau dan kedudukan Asia Tenggara yang bebas senjata nuklear.

Selain itu, China juga menyokong usaha pengantaraan Asean dalam mengendalikan isu serantau, serta menentang cubaan mencetuskan pertikaian dan konfrontasi sesama badan serantau. - Bernama