Malaysia bincang kuota haji dengan Arab Saudi bulan ini

Iklan
Idris (lima dari kiri) menyerahkan replika cek, trofi serta sijil kepada Pengerusi Koperasi Masjid ar-Rashdiah, Che- Had Jasin (tiga dari kiri) selaku wakil pemenang tempat pertama Anugerah Koperasi Kariah Masjid Terbaik bertempat di Hotel Movenpick, Sepang pada Rabu.

SEPANG - Semua perkara melibatkan ibadah haji termasuk prosedur operasi standard (SOP), kuota dan syarat ditetapkan bagi jemaah Malaysia akan dibincangkan bersama kerajaan Arab Saudi pada bulan ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Idris Ahmad berkata, beliau akan ke Arab Saudi pada 19 Mac ini dan keputusan mengenainya akan dimaklumkan selepas itu.

Iklan
Iklan

"Tidak pasti lagi tentang penentuan kuota ini daripada kerajaan Arab Saudi, kita harapkan supaya dikekalkan atau ditambahkan lagi, cuma itu di atas budi bicara dari kerajaan Arab Saudi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan perasmian penutup Konvensyen Koperasi Kariah Masjid Peringkat Kebangsaan 2022 di Hotel Movenpick di sini pada Selasa.

Iklan

Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Muslimin Yahaya; Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah; Ketua Pengarah Institut Koperasi Malaysia (Ikma), Datuk Mohd Ali Mansor.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai Konvensyen Koperasi Kariah Masjid yang diadakan beliau berkata, sehingga 30 Jun 2021 sejumlah 462 Koperasi Kariah Masjid telah didaftar dengan keahlian 38,000 anggota dan jumlah aset melebihi RM29 juta.

Iklan

"Insya-ALLAH kita bersedia untuk mewujudkan Majlis Perunding Koperasi Kariah Masjid yang akan dianggotai oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Majlis Agama Negeri (Main) dan Jabatan Agama Islam Negeri (Jain) serta agensi berkaitan untuk membentuk dasar, merancang dan melaksanakan inisiatif serta program berkaitan pembangunan koperasi masjid,” katanya.

Menurutnya, penubuhan Koperasi Kariah Masjid bertujuan supaya peranan masjid dapat diperluas bukan sahaja sebagai tempat untuk beribadat dan menimba ilmu agama, malahan sebagai tempat bagi penyatuan dan pembangunan ekonomi ummah setempat.

"Masjid muncul sebagai institusi yang menjadi ‘one stop centre’ yang berupaya menawarkan pelbagai perkhidmatan kepada masyarakat setempat.

"Konsep koperasi ini adalah selaras dengan ayat al-Quran yang menganjurkan sifat tolong-menolong kepada kebaikan,” katanya.

Tambahnya lagi, kepentingan koperasi memang diakui di peringkat ekonomi negara pada masa kini sebagai sektor ketiga terpenting dalam pembangunan negara.

"Masjid harus bersedia mengubah corak pengurusan kewangan lama iaitu dengan cara menyimpan di akaun simpanan tetap kepada pengurusan yang baru seperti pembiayaan perniagaan dan pelaburan aset,” katanya.

Sementara itu pada majlis yang sama, Koperasi Masjid ar-Rashdiah, Selama, Perak, Koperasi Masjid Nurul Yaqin, Kelana Jaya, Selangor dan Koperasi Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur dinobatkan sebagai penerima Anugerah Koperasi Kariah Masjid Terbaik.