Lebih 42,000 individu terima manfaat dari program RTW Perkeso

Iklan
Mohammed Azman melancarkan pengiklanan dan promosi program Return to Work di Menara Perkeso, pada Selasa. Hadir sama Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) Perkeso John Riba Anak Marin (kanan) dan Pengarah Marketing Agensi dan Distribution Monsta Faiz Zainal Aabidin (kiri). - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Seramai 42,926 Orang Berinsurans (OB) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mendapat manfaat dari program Return to Work (RTW) sejak ia diperkenalkan pada tahun 2007.

Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, di bawah program tersebut, Perkeso membantu pencarum yang hilang upaya untuk dipulihkan menerusi pemulihan fizikal, latihan vokasional dan seterusnya pelaksanaan penempatan pekerjaan.

Iklan
Iklan

"Berteraskan proses pemulihan yang sistematik dengan pendekatan biopsikososial, Program RTW Perkeso yang mula diperkenalkan pada tahun 2007 ini disediakan kepada OB atau pencarum Perkeso yang hilang upaya, agar mereka segera pulih dan dapat kembali bekerja.

"Di samping dapat meningkatkan produktiviti negara, kehadiran mereka dalam pasaran buruh juga bermakna mereka dapat kembali menjadi pencarum Perkeso yang aktif, sekali gus menyumbang kepada kemampanan dana Perkeso," katanya selepas Majlis Pelancaran Promosi Animasi Program RTW Perkeso, di sini, pada Selasa.

Iklan

Beliau berkata, di bawah program itu, terdapat tujuh cara kembali bekerja iaitu kerja yang sama dengan majikan sama; kerja lebih kurang sama dengan majikan sama; kerja berbeza dengan majikan sama; kerja sama dengan majikan baharu; kerja lebih kurang sama dengan majikan baharu; kerja berbeza dengan majikan baharu dan bekerja sendiri.

"Untuk pencarum atau OB yang mahu bekerja sendiri di bawah RTW ini, kita juga mempunyai program untuk membantu usahawan seperti dari segi pemasaran dan sebagainya," katanya.

Iklan

Mengenai majlis hari ini, Mohammed Azman berkata, buat julung kalinya Perkeso mengetengahkan konsep baharu dalam promosi perlindungan keselamatan sosial dan faedah Perkeso iaitu menerusi iklan animasi kepada golongan sasar serta seluruh Keluarga Malaysia.

Beliau berkata,iklan tersebut menampilkan watak animasi tempatan popular BoboiBoy dengan kerjasama studio animasi Monsta dan akan mula ditayangkan pada Jumaat ini (11 Mac) di TV3 sekitar 9 malam sehingga 10 malam, selain melalui platform media sosial Perkeso dan Animonsta Sdn Bhd.

"Iklan animasi yang dihasilkan ini memfokuskan kepada kepentingan Pengurusan Hilang Upaya yang efisien di bawah Program RTW, iaitu tindakan proaktif melalui intervensi awal akan membolehkan seseorang pencarum itu menerima faedah Perkeso serta dipulihkan, agar mampu kembali bekerja dengan selamat dan cepat.

"Perkeso berharap agar pendekatan melalui iklan animasi ini mampu memupuk minda dan menarik minat para penonton, tidak mengira peringkat umur, untuk lebih peka tentang Pengurusan Hilang Upaya yang merupakan salah satu aspek perlindungan keselamatan sosial," katanya. - Bernama