Doktor pencen rugi RM200,000 diperdaya Macau Scam

Iklan
Seorang pesara doktor kerajaan kerugian RM 200,000 setelah menjadi mangsa penipuan Macau Scam pada Jumaat lalu. Gambar hiasan. - Foto 123RF

KUALA LUMPUR - Seorang pesara doktor kerajaan kerugian RM200,000 setelah menjadi mangsa penipuan Macau Scam pada Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mahidisham Ishak, berkata mangsa seorang lelaki berumur 83 tahun telah dihubungi oleh seorang individu yang tidak dikenali memperkenalkan diri sebagai wakil sebuah bank.

Iklan
Iklan

Menurutnya, suspek yang menghubungi mangsa menyatakan nama mangsa telah diguna pakai untuk pendaftaran kad kredit platinum master sedangkan urusan tersebut tidak wujud.

"Panggilan telefon tersebut turut disambungkan kepada seorang lagi suspek yang mendakwa dari Bank Negara.

Iklan

"Mangsa telah dimaklumkan satu laporan polis telah dibuat kerana nama mangsa telah disalahgunakan, suspek turut menyatakan akan membantu membatalkan kad kredit tersebut," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Katanya, mangsa juga telah menerima satu salinan laporan polis melalui aplikasi WhatsApp.

Iklan

"Mangsa diminta untuk menyerahkan maklumat akaun bank berserta kata laluan dan juga nombor OTP (One Time Password).

"Suspek kemudiannya mengarahkan mangsa supaya memadankan mesej OTP yang diterima. Selepas urusan transaksi tersebut mangsa telah menghubungi pegawai khidmat pelanggan bank berkenaan untuk semakan," katanya.

Menurutnya, semakan yang dilakukan mendapati terdapat 14 transaksi pengeluaran dibuat dari akaun bank mangsa.

"Mangsa yang merasakan dirinya tertipu kemudian tampil membuat laporan polis berhubung kejadian.

"Kes melibatkan kerugian berjumlah RM200,000 dan kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.