Polis gempur PPR, kekang masalah jenayah dan dadah

Iklan
Operasi dijalankan di sekitar kawasan PPR dalam usaha mengurangkan kadar jenayah dan kes penyalahgunaan dadah.

KUALA LUMPUR - Polis menggempur Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar daerah Wangsa Maju sebagai tindakan dalam usaha mengekang permasalahan jenayah serta dadah di kawasan tersebut.

Operasi Cegah Jenayah yang dijalankan bermula jam 9 malam, semalam melibatkan PPR Seri Semarak, PPR Desa Rejang, PPR Air Panas, PPR Gombak Setia dan PPR Chocrane.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Noor Azmi Yusoff berkata, dalam operasi yang diketuai Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPD Wangsa Maju, Asisten Superintendan Fazzol Abdul Razak ini, seramai 11 individu berusia lingkungan 25 hingga 40 tahun termasuk seorang wanita berjaya ditahan.

Menurutnya, semakan mendapati tangkapan terdiri daripada enam warga tempatan dan lima warga asing membabitkan warga India, Indonesia serta Filipina.

Iklan

"Bagi tangkapan warga tempatan, pemeriksaan kita mendapati seorang didapati memiliki waran bersabit kes dadah, seorang dikehendaki juga bersabit kes dadah, manakala empat orang lagi disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

"Selain itu, bagi tangkapan warga asing ini, semakan mendapati mereka ini berada di Malaysia tanpa dokumen perjalanan diri yang sah," katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Dalam operasi yang tamat pada jam 1 pagi ini, Noor Azmi berkata, operasi turut menjalankan pemeriksaan terhadap 336 orang warga tempatan.

Katanya, selain itu, polis turut mengeluarkan sebanyak 50 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas menerusi operasi trafik hasil pemeriksaan sebanyak 298 buah kenderaan membabitkan 21 buah kereta serta 177 buah motosikal.

Tambahnya, operasi ini akan terus dilaksanakan sebagai langkah pencegahan kes curi kenderaan dan aktiviti dadah selain menyedarkan masyarakat di mana pihak polis sentiasa memantau serta membuat rondaan di kawasan PPR.