KOTA KINABALU - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura, Calvin Chong Ket Kiun tampil menafikan bahawa beliau menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) seperti yang didakwa baru-baru ini.
Dakwaan itu timbul selepas gambarnya bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dalam satu pertemuan tular di aplikasi WhatsApp.
"Di sini saya perlu jelaskan, pada hari itu saya berjumpa dengan Ketua Menteri bersama ADUN Sri Tanjong, Justin Wong untuk menjalankan tugas sebagai ADUN, bukannya untuk 'lompat parti' ke Gabungan Rakyat Sabah (GRS) atau Bersatu.
"Beberapa hari lalu, saya telah mendapat laporan daripada Datuk Seri Hajiji mengenai beberapa isu dan rancangan sara hidup di kawasan Elopura dan sebelum ini juga saya telah menyuarakan isu dan rancangan ini kepada bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan beliau juga telah memberi maklum balas yang psoitif daripada pihaknya.
"Isu yang dibangkitkan termasuk Terminal Bas Bersepadu Sandakan, Pasar Muhibbah dan Cukai Jualan Negeri, nelayan kecil tersepit ekoran keadaan ekonomi, pendatang asing tanpa izin (PATI) dan 13 projek pembinaan jalan pintas yang dibincangkan sebelum ini masih belum mendapat maklum balas," katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sudah menjadi kewajipan bagi penggubal undang-undang negeri untuk bertemu dengan Ketua Menteri dan membincangkan isu yang disuarakan rakyat serta mencari jalan penyelesaian.
"Bukan untuk 'melompat parti' seperti yang dikhabarkan. Bukan untuk kepentingan diri sendiri.
"Saya berjumpa Ketua Menteri kerana terlalu banyak isu sara hidup rakyat yang perlu dibangkitkan dan saya juga mengemukakan beberapa jalan penyelesaian dan rancangan pembangunan termasuk penubuhan pelabuhan perdagangan bebas untuk semuanya dan ia adalah untuk pembangunan Sandakan pada masa hadapan," katanya.
Januari lalu, Calvin dan Justin bersama bekas senator, Adrian Lasimbang dari DAP Sabah mengumumkan keluar parti.