PRN Johor: PN fokus kawasan kelabu

Iklan
Rakaman gambar bendera parti Perikatan Nasional (PN) berlatarbelakangkan mural Muhyiddin Yassin ketika tinjauan sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. - Foto Bernama

KLUANG - Berbaki tiga hari lagi untuk kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Perikatan Nasional (PN) kini lebih memfokuskan kepada kawasan ‘kerusi kelabu’ untuk meraih kemenangan.

Tanpa mendedahkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dikategorikan sebagai kelabu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, terdapat beberapa kawasan tertentu di negeri selatan itu yang memerlukan lebih usaha dan fokus.

Iklan
Iklan

"Momentum kempen bagus. Semua kawasan kami beri fokus terutama kawasan yang kami fikir perlu ada usaha lebih, kawasan kelabu. Di situ kami akan asak dengan ceramah dan bertemu pengundi secara bersemuka,” kata Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu.

Muhyiddin ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program minum petang bersama pimpinan badan bukan kerajaan dan pimpinan masyarakat di sini pada Selasa berkata, beliau yakin pengundi atas pagar telah membuat keputusan untuk memilih parti mana yang harus menerajui kerajaan negeri Johor.

Iklan

Beliau turut meminta golongan belia yang pertama kali mengundi untuk keluar mengundi pada PRN Johor, Sabtu ini bagi menunjukkan sentimen dan kehendak mereka.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu juga berjanji akan mewujudkan satu jawatankuasa untuk memantau pelaksanaan manifesto ‘Demi Bangsa Johor’ yang berteraskan lapan tunjang utama tersebut jika PN diberi mandat pada PRN berkenaan.

Manifesto yang dilancarkan pada 2 Mac itu dipacu 24 strategi dan berlandaskan 145 pendekatan yang meliputi kepimpinan berintegriti dan bebas rasuah; keutuhan ekonomi; keutamaan menangani kos sara hidup; keprihatinan kepada rakyat; kesejahteraan sosial; kecekapan infrastruktur; merancakkan sektor pelancongan dan kelestarian alam sekitar.

Iklan

Seramai 239 calon bertanding merebut 56 kerusi pada PRN kali ini.

Hari pengundian PRN Johor ditetapkan pada 12 Mac (Sabtu) ini. - Bernama