KRISIS Ukraine-Rusia masih lagi tiada titik noktah susulan Ukraine menolak tawaran Rusia untuk membuka koridor kemanusiaan yang akan membolehkan pelarian dari bandar yang diserang memasuki Rusia dan Belarus.
Timbalan Perdana Menteri Ukraine, Iryna Vereshchuk tegaskan ia bukan tawaran yang boleh diterima.
Tentera Rusia sebelum ini memaklumkan membuka koridor daripada empat bandar Ukraine iaitu Kharkiv, Kiev, Mariupol dan Sumy untuk memberi peluang kepada pelarian menyelamatkan diri, susulan gencatan senjata yang dikuatkuasakan.
Bagaimanapun media antarabangsa melaporkan pertempuran masih berterusan di empat bandar tersebut.
Menurut Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Rusia meletakkan hampir semua aset tempurnya di sempadan Ukraine, membayangkan kemungkinan serangan besar-besaran.
Susulan itu, Pentagon menambah 500 lagi tentera AS di Eropah bagi meningkatkan keselamatan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Konflik Rusia-Ukraine yang bermula pada 24 Februari, telah mengundang kecaman antarabangsa selain mengakibatkan Moscow dikenakan sekatan kewangan.
Barat telah mengenakan sekatan eksport ke atas teknologi utama yang kini dilarang dihantar ke Rusia.
Menurut data terkini, Rusia menjadi negara di dunia yang paling banyak menerima sekatan susulan konflik dengan Ukraine.
Moscow dikenakan 2,778 sekatan baharu dalam masa kurang dua minggu sejak melancarkan operasi ketenteraan terhadap Ukraine, menjadikan jumlah keseluruhan 5,532.
Presiden Rusia, Vladimir Putin dijangka tidak akan berundur sehingga berjaya menguasai keseluruhan Ukraine.
Kemaraan tentera Rusia ini menyebabkan krisis ini tidak mungkin akan berhenti dalam masa terdekat yang pasti memberi kesan kepada ekonomi dunia.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy dilihat tersepit di tengah-tengah kerana masih belum menerima bantuan ketenteraan NATO.
Diharap krisis ini tidak merebak ke negara jiran dan dapat menemui titik persefahaman segera.