150 troli pasar raya disertu

Iklan
Semua 150 troli yang digunakan pada malam kejadian disertu

PUCHONG - Tindakan seorang lelaki membawa dan meletakkan anjing peliharaannya di dalam troli sebuah pasar raya di Bandar Bukit Puchong, di sini, malam kelmarin mengundang kemarahan orang ramai khususnya yang beragama Islam.

Dua keping gambar yang dirakamkan seorang pengunjung lain menunjukkan lelaki tua itu berdiri di sisi troli dengan seekor anjing berada di dalamnya sebelum ia tular di Facebook sejak kelmarin.

Gambar seekor anjing diletakkan dalam troli oleh pengunjung sebuah pasaraya di Bandar Bukit Puchong yang tular sejak kelmarin

Iklan
Iklan

Individu yang merakamkan gambar tersebut turut menyatakan rasa kesal dengan tindakan pemilik anjing berkenaan yang seolah-olah tidak sensitif dan peka, apatah lagi larangan membawa masuk haiwan ke pasar raya sudah diletakkan di kawasan pintu masuk.

Susulan kejadian tersebut, pihak Masjid Bandar Bukit Puchong (MBBP) dilihat tampil membantu pihak pengurusan pasar raya berkenaan untuk membuat sertu atau samak ke atas troli di situ.

Kaedah sertu ditunjukkan langkah demi langkah bagi memastikan ia dilakukan dengan betul dan sempurna


Ahmad Zaidee (tengah) memberi penerangan berhubung kaedah sertu kepada semua yang terlibat semalam.

Iklan

Imam MBBP, Ahmad Zaidee Abu Hassim berkata, pihaknya mengetahui kejadian selepas melihat gambar terbabit yang tular dan dikongsi di Facebook Warga Puchong.

Menurutnya, beliau kemudian menghubungi pihak pengurusan pasar raya berkenaan bagi mendapatkan pengesahan berhubung kejadian itu.

Iklan

"Mereka sahkan dan petang semalam, pihak pengurusan pasar raya minta kita bantu untuk buat proses sertu ke atas troli di premis perniagaan mereka.

"Proses sertu itu dibuat ke atas 150 troli yang digunakan pada malam kejadian kerana troli yang diletakkan anjing berkenaan tidak diasingkan dan bercampur dengan troli lain," katanya kepada Sinar Harian.

Kaedah sertu dimulakan oleh wakil dari Masjid MBBP


Kesemua troli yang disertu semalam

Katanya, proses sertu melibatkan 20 wakil masjid serta lapan kakitangan pasar raya berkenaan dimulakan pada jam 9.55 malam tadi dan selesai kira-kira 40 minit kemudian.

"Pihak pengurusan mengambil inisiatif itu kerana tidak mahu pengunjung dan pelanggan mereka berasa ragu-ragu untuk ke pasaraya berkenaan," katanya.