Tidak pernah rasa beban urus suami

Iklan
Zalina dan anak-anak ketika ditemui di rumahnya di Bandar Seremban Selatan, Seremban baru-baru ini.

SEREMBAN - Berat ujian ditanggung Zalina Azman, 41, apabila suaminya, Muhammad Khalis Md Shari, 34, yang selama ini menjadi tempat bergantung berdepan masalah kesihatan.

Tahap kesihatan Khalis yang merupakan vokalis kumpulan Real Spin dan juga adik kepada Allahyarham Acik Spin mula merosot pada tahun lalu akibat kencing manis sehingga terlantar di rumah.

Iklan
Iklan

Zalina bagaimanapun berkata, dia sedikit pun tidak menganggap keadaan itu sebagai satu beban, malah melaluinya dengan penuh reda.

"Saya bersyukur kerana ALLAH berikan kekuatan untuk hadapi ujian ini. Walaupun ketika itu suami terlantar sakit selama tiga bulan dan memerlukan penjagaan sepenuhnya.

Iklan

"Sedikit pun saya tak pernah rasa beban, sebaliknya berserah sepenuhnya kepada ALLAH. Saya anggap ini sebagai ujian rahmat kerana ALLAH sayangkan kami sekeluarga," katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Bandar Seremban Selatan di sini baru-baru ini.

Ketika ditemu bual, Khalis tiada di rumah kerana berada di wad Hospital Tuanku Ja’afar di sini berikutan kandungan asid dalam badannya tinggi.

Iklan

Sementara itu, Zalina berkata, walaupun Khalis sudah beransur pulih dan tidak lagi terlantar tetapi masih belum kuat untuk menguruskan diri.

Menurutnya, suaminya juga memerlukan rawatan susulan tiga atau empat kali sebulan untuk penyakit diabetes dan perlu mengawal kandungan asid dalam badan.

"Kaki dia pun tak kuat lagi untuk berdiri lama. Tapi kalau ada jemputan menyanyi secara santai dalam tempoh sekejap, bolehlah.

"Tapi sebenarnya dia tak pernah sebut mengenai karier nyanyiannya. Cuma saya tahu dia minta menyanyi. Fokusnya sekarang hanya mahu pulih seperti dulu,” katanya.

Zalina berkata, dia bersyukur kerana tujuh anak serta ahli keluarga dan rakan-rakan selalu membantu.

Bagi menyara keluarga, Zalina menjalankan perkhidmatan bekam sunah dari rumah ke rumah sejak tiga tahun lalu, selain menjual kuih loyang yang diusahakan bersama anak-anaknya.

Walaupun pendapatan diterima tidak seberapa, namun Zalina berkata, ia mencukupi buatnya sekeluarga meneruskan hidup.