ISU tunggakan gaji yang melanda Perak FC ketika ini bukan sahaja melibatkan pemain, malah barisan kejurulatihan juga dipercayai belum menerima gaji masing-masing.
Menurut sumber yang enggan namanya didedahkan, beliau dan beberapa jurulatih masih belum dibayar gaji oleh pihak pengurusan Perak FC sejak beberapa bulan lalu.
"Sebenarnya kami sudah lama bersabar mengenai isu ini sebab mulanya mereka cakap akan selesaikan dengan kadar segera. Seingat saya rasa kali terakhir saya dapat bayaran gaji adalah pada Ogos 2021.
"Pada mulanya, kami tidak mahu ambil tindakan sebab percaya mereka akan lunaskan janji itu. Namun ternyata sangkaan itu salah apabila pemain sahaja yang sudah dibayar gaji, itu pun masih ada tunggakan.
"Jadi kami ini bila mahu dibayar gaji. Kami sudah penat kerana kami ada keluarga untuk disara lagi-lagi sekarang bulan Ramadan sudah dekat,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.
Sebelum ini, pengurusan Perak FC dalam satu kenyataan memaklumkan mereka akan cuba melunaskan tunggakan gaji pemain sedia ada selewat-lewatnya pada 7 Mac.
Difahamkan, pengurusan kelab itu bercadang untuk menyelesaikan semua tunggakan gaji pemain sedia ada atau sekurang-kurangnya bayaran bulan pertama terlebih dahulu.
"Saya tak tahu siapa pengurusan yang menjaga Perak FC ketika ini, tetap saya dan rakan-rakan lain berharap masalah gaji jurulatih yang tidak dibayar sebelum ini akan diselesaikan segera.
"Jika tidak boleh dibayar sekali gus kami terima, tapi asalkan gaji kami yang tertunggak sebelum ini dibayar sama seperti pemain-pemain Perak yang ada sekarang,” ujarnya.
Sebelum ini, kem Perak FC digegarkan dengan berita Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) digantung selama enam bulan berikutan terdapat perlanggaran terhadap perlembagaan persatuan.
Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) membuat keputusan itu selepas PAFA memecat 12 ahli gabungan ekoran perlanggaran perlembagaan Artikel 80 yang mengatakan tiada ahli gabungan boleh menjadi ahli kepada dua persatuan.
Pada masa sama, PJS mengesahkan hanya mengiktiraf ahli jawatankuasa PAFA yang dipilih dan diputuskan bagi sesi 2018 hingga 2021.