SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap agar seluruh pengundi bukan Melayu bersama Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.
Menurut beliau, ini kerana BN merupakan satu-satunya organisasi politik yang terbukti mampu membawa agenda perpaduan dalam negara.
Jelasnya, sepanjang parti tersebut memegang pucuk pimpinan negara, rakyat Malaysia yang pelbagai kaum dan agama hidup penuh harmoni serta makmur.
"BN iaitu sebuah gabungan politik ditunjangi parti komponen yang mewakili pelbagai kaum dan agama UMNO, MCA dan MIC untuk Johor.
"Ingatilah apa terjadi kepada perpaduan ini selepas kerajaan BN ditumbangkan dengan fitnah, penipuan dan janji palsu.
"Kerajaan 22 bulan PH (Pakatan Harapan) telah merosakkan perpaduan kita dengan dasar-dasarnya yang meresahkan orang Melayu.
"Cuba mengubah sejarah negara yang selama ini menjadi pegangan kesatuan serta kestabilan hidup seluruh rakyat Malaysia,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pada Rabu.
Beliau turut mendakwa bahawa PH telah merudumkan ekonomi negara sehingga menyebabkan banyak sektor perniagaan merosot dan terjejas namun kroni perniagaan mereka dilimpahkan dengan nikmat kekayaan yang tidak bertepi.
Tambah Ahmad Zahid, kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang telah mentadbir selama 17 bulan pula terbukti gagal dalam menguruskan pandemik Covid-19 dengan jujur dan saksama.
Sebaliknya, katanya, PN mengambil kesempatan daripada itu untuk memperkukuh kedudukan politik sehingga sanggup melaksanakan dasar-dasar yang banyak mengorbankan sumber rezeki rakyat.
"Nasib golongan pekerja dan peniaga di Malaysia terjejas teruk tanpa mengira mereka Melayu, India mahupun Cina.
"Ingatilah kestabilan, kemakmuran, kesejahteraan dan kemajuan yang pernah kita bersama nikmati suatu ketika dulu. Hanya BN yang terbukti mampu merealisasikan semua itu.
"BN mampu melaksanakannya kerana parti ini tidak pernah tentang mana-mana kumpulan atau individu. Tetapi sebuah organisasi politik ‘as a whole’ yang dari dulu berfungsi sebagai ‘a single unit’ untuk rakyat dan negara,” ujarnya.
Ikuti perkembangan semasa #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my