KUALA LUMPUR - Kerajaan berharap dapat mengumumkan butiran mengenai sasaran pelepasan karbon sifar bersih 2050 pada tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kerajaan masih dalam peringkat membangunkan rangka kerja berkenaan yang turut merangkumi langkah memperkenalkan pasaran karbon dan mekanisme penetapan harga karbon secara sukarela seperti cukai karbon serta perluasan insentif cukai teknologi hijau.
Menurut beliau, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) sedang berbincang dengan Bursa Malaysia Bhd mengenai perkara berkaitan dagangan karbon.
"Adalah diharapkan butiran lanjut mengenainya dapat diumumkan pada tahun ini yang dapat memberi gambaran lebih jelas kepada kita,” katanya ketika berucap pada Persidangan Hijau MIDF bertemakan ‘Beyond The Blah Blah Blah’ di sini pada Rabu.
Mustapa memberitahu, kerajaan telah menetapkan sasaran pemasangan kapasiti tenaga boleh baharu sebanyak 30 peratus bagi sektor tenaga menjelang 2025.
"Kerajaan juga komited untuk memenuhi janji kita dalam Sidang Kemuncak Bumi Rio 1992 untuk memastikan 50 peratus daripada kawasan negara kekal diliputi hutan.
"Pada masa sama, kerajaan juga menyasarkan agar Malaysia muncul sebagai hab Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) serantau bagi meraih manfaat daripada peningkatan permintaan terhadap produk-produk SRI,” katanya.
Menurutnya, Malaysia juga menyedari cabaran peralihan negara ke arah mencapai sasaran jejak karbon yang lebih rendah.
"Ketika ini, beberapa negara masih dalam proses beralih ke sumber tenaga lebih hijau pada tahap yang ketara manakala masih banyak negara-negara pesat membangun yang sebaliknya bergantung kepada industri yang sarat karbon.
"Bagi menikmati manfaat di landasan karbon lebih rendah, negara sedang pesat membangun seperti Malaysia perlu mempercepat peralihannya ke arah tenaga lebih hijau,” katanya.
Menurut Mustapa, kerajaan telah melaksanakan Akta Tenaga Boleh Baharu sedekad lepas yang berperanan sebagai inisiatif bagi menggalakkan pembangunan sektor tenaga berkaitan.
Pada Disember 2021, Bank Negara Malaysia (BNM) telah menerbitkan Draf Pendedahan Pengurusan Risiko Iklim dan Analisis Senario yang menetapkan keperluan berkaitan bagi meningkatkan daya tahan sektor kewangan terhadap risiko terbabit.
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia juga telah mengeluarkan kertas rundingan mengenai Taksonomi SRI bagi pasaran modal tempatan untuk mengenal pasti aktiviti ekonomi yang seiringan dengan matlamat tadbir urus alam sekitar, sosial dan korporat (ESG).
"Terdapat beberapa perkembangan positif membabitkan pematuhan ESG apabila syarikat-syarikat telah mula menyedari mengenai kepentingan ESG,” katanya.
Mustapa berkata, ini dapat dilihat menerusi peningkatan jumlah syarikat tersenarai di bawah Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia melibatkan syarikat yang terbukti memenuhi kriteria ESG tertentu.
Bilangan tersebut telah meningkat daripada 24 syarikat di awal pelaksanaannya pada 2014 kepada 80 syarikat setakat Disember 2021.
Pada 2021, pelaburan global dalam dana mampan/ESG dan Dana Dagangan Bursa meningkat sebanyak 53 peratus kepada AS$2.7 trilion. - Bernama