JKDM patah cubaan seludup 2.39 juta batang rokok

Iklan
Mohamad (tiga dari kanan) menunjukkan rokok pelbagai jenama yang dirampas ketika sidang akhbar di Kompleks Imigresen Kastam dan Kuarantin (ICQ) Bukit Berapit di Pengkalan Hulu pada Rabu.

PENGKALAN HULU - [DIKEMASKINI] Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak berjaya mematahkan cubaan menyeludup dengan merampas 2.39 juta batang rokok pelbagai jenama dalam Ops Benteng Fasa 22 di dua lokasi berasingan iaitu di Lenggong dan Kuala Kangsar pada 5 Mac lalu.

Pengarahnya, Datuk Dr Mohamad Saprin berkata, rampasan pertama dilakukan sepasukan anggota Cawangan Penguatkuasaan JKDM Pengkalan Hulu yang membuat pemeriksaan ke atas sebuah lori di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Selat Pagar, Lenggong.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut membawa kepada penemuan sejumlah 1.7 juta batang rokok putih yang disyaki barang larangan kastam dengan anggaran nilai cukai sejumlah RM1.13 juta.

"Susulan itu, seorang lelaki tempatan berumur 31 tahun yang merupakan pemandu kenderaan tersebut telah ditahan untuk membantu siasatan.

Iklan

"Dalam serbuan ini juga, JKDM Stesen Pengkalan Hulu turut merampas sebuah lori tersebut," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Kompleks Imigresen Kastam dan Kuarantin (ICQ) Bukit Berapit di Pengkalan Hulu di sini pada Rabu.

Mohamad berkata, bagi rampasan kedua pula, pihaknya berjaya mengesan sebuah lori dengan muatan sejumlah rokok pelbagai jenama yang disyaki barang larangan kastam di (R&R) Sungai Perak, Kuala Kangsar kira-kira jam 6 pagi.

Iklan

Menurutnya, hasil pemeriksaan rapi yang dilakukan ini oleh sepasukan anggota dari cawangan sama mendapati terdapat lebih kurang 690,000 batang rokok pelbagai jenama dengan anggaran nilai cukai sejumlah RM460,620.

Katanya, kesemua barang-barang yang dirampas termasuk kenderaan yang membawa barangan tersebut dibawa Pejabat Cawangan Penguatkuasaan Pengkalan Hulu bagi siasatan lanjut.

"Kedua-dua kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan boleh didakwa di bawah peruntukan yang sama yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 135(1)(v)(aa).

"Bagi kesalahan pertama boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barangan itu atau RM100,000 yang mana lebih tinggi dan tidak lebih 20 kali ganda nilai barangan itu atau RM500,000 yang mana yang lebih tinggi atau dipenjara selama tempoh tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Sementara itu, Mohamad turut menggesa orang ramai membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain.

Jelasnya, mereka juga dinasihatkan tidak terlibat dengan aktiviti tersebut kerana kegiatan penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah ia turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

Menurutnya, orang awam boleh memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam yang terdekat di semua negeri.

Beliau turut memberi jaminan pihak JKDM akan merahsiakan identiti setiap pemberi maklumat.