Warga emas maut kereta terhumban bawah jambatan

Iklan
Kereta mangsa remuk selepas terjatuh dari Jambatan Syed Abdul Aziz di Taman Kota Laksamana pada pagi Rabu.

MELAKA -Seorang lelaki warga emas maut selepas kereta dipandunya hilang kawalan dan terhumban ke bawah Jambatan Syed Abdul Aziz di Taman Kota Laksamana, di sini pada pagi Rabu.

Kejadian jam 9.20 pagi menyebabkan mangsa, Tan Chin Chee, 76, yang memandu kereta Toyota Vios disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.

Iklan
Iklan

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari arah Kota Syahbandar menghala ke Melaka Raya sebelum dipercayai hilang kawalan.

Kereta Toyota Vios dipandu mangsa hilang kawalan sebelum terhumban ke bawah Jambatan Syed Abdul Aziz di Taman Kota Laksamana, di sini, pada pagi Rabu.

"Mangsa dari lorong kiri telah masuk ke laluan bertentangan sehingga terjatuh dari Jambatan Syed Abdul Aziz.

Iklan

"Dianggarkan ketinggian jambatan dengan tempat kejadian kira-kira 15 meter," katanya ketika dihubungi pemberita di sini pada Rabu.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Iklan

Sementara itu, Komander Operasi daripada Balai Bomba dan Penyelamat Melaka Tengah, Pegawai Bomba Kanan II, Rahim Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan diterima pada jam 9.26 pagi.

Menurutnya, setiba di lokasi kejadian mendapati mangsa terperangkap dalam sebuah kereta yang remuk dipercayai terjatuh daripada jambatan.

"Kita mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan mayat mangsa sebelum diserahkan kepada polis," katanya.