SEMENYIH - Cubaan pekerja asing di sebuah institut pengajian tinggi (IPT) di sini, melarikan diri dengan memanjat bukit dan menyembunyikan diri di bilik kecil ketika diserbu pada Isnin, berjaya dipatahkan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen).
Operasi kira-kira jam 11 pagi itu berjaya menahan 33 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang bekerja sebagai tukang cuci dan tukang kebun.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, semakan mendapati PATI itu terdiri daripada 27 warga Indonesia, Pakistan (4), Bangaladesh (1) dan seorang Nepal.
Katanya, semasa serbuan dilakukan, warga asing yang bekerja sebagai tukang kebun cuba melarikan diri dengan memanjat bukit yang terletak di belakang bangunan asrama manakala tukang cuci cuba mengaburi mata pegawai penguat kuasa dengan menukar pakaian seragam mereka dan menggunakan pakaian biasa.
"Ada juga yang bersembunyi di dalam bilik kecil namun segala usaha warga asing ini berjaya dipatahkan dengan tindakan pantas anggota serbuan.
"Hasil risikan mendapati pekerja warga asing ini telah bekerja di IPT terbabit sejak kira-kira dua tahun dan tidak pernah memiliki pas serta tiada dokumen pengenalan diri," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, waktu warga asing terbabit bekerja juga bermula jam 7 pagi sehingga 4.30 petang di dalam kawasan universiti itu.
Katanya, syarikat yang menggajikan warga asing ini juga dikatakan tidak pernah memohon Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).
Susulan itu, sebanyak tujuh saman saksi dikenakan ke atas pengurus dan penyelia di syarikat tersebut bagi mengesan majikan sebenar.
"Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan langgar syarat pas," katanya.
Tegasnya, kes disiasat mengikut Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.