Suri rumah didakwa lima pertuduhan tipu sewa rumah

Iklan
Shalini (depan tengah) ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban pada Rabu.

SEREMBAN - Seorang suri rumah didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas lima pertuduhan menipu urusan sewa rumah berjumlah RM11,436 pada bulan lalu.

Tertuduh R Shalini, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Norzaliza Tesmin dan Mohd Firdaus Saleh.

Iklan
Iklan

Mengikut empat pertuduhan, Shalini didakwa telah memperdayakan tiga wanita dan seorang lelaki dengan mendorong kesemua mereka membuat bayaran dalam urusan sewa rumah dengan memasukkan wang tunai keseluruhan berjumlah RM9,488 ke dalam akaun seorang individu.

Perbuatan itu dilakukan antara 19 Februari 2022 hingga 25 Februari 2022 di dua buah bank berasingan, Taman Paroi Jaya dan Ladang Kombok Rantau di Seremban.

Iklan

Empat pertuduhan itu dilakukan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Selain itu, tertuduh turut didakwa dengan curang telah menipu seorang lelaki dengan memperdayanya untuk mempercayai tertuduh telah membuat pembayaran sebanyak RM1,948 ke dalam akaun seorang individu untuk urusan sewa rumah.

Iklan

Perbuatan itu dilakukan pada 17 Februari 2022 di Jalan Intan 5, Taman Bukit Sentosa, Seremban.

Pertuduhan itu dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara setahun hingga 10 tahun dan sebat serta dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Muhaimin Mohd Azman dan Hafizah Zainul Hashimi.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM13,500 bagi kesemua pertuduhan selain menetapkan sebutan semula kes pada 23 Mac depan.