PENGENDALI Penang FC, Tomas Trucha mengakui terkilan apabila Harimau Kumbang gagal mengutip tiga mata ketika menentang Melaka United FC (MUFC) dalam saingan Liga Super di Stadium Bandaraya pada Selasa.
Trucha berkata, sasaran pertama tuan rumah apabila menguasai rentak perlawanan terutama pada separuh masa pertama adalah mengutip tiga mata.
"Ya sejujurnya, saya tidak gembira dengan satu mata dalam perlawanan ini, tambahan pula sudah pasti kita perlu menang apabila beraksi di tempat sendiri sebaliknya tidak menjadi.
"Malah, lebih malang kami melakukan kesilapan sehingga membolehkan pihak lawan berada di depan,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu di Stadium Bandaraya Pulau Pinang.
Biarpun Trucha mengakui para pemain Harimau Kumbang mengikut perancangan pada separuh masa pertama, namun tidak meneruskan momentum itu pada babak kedua bagi memberikan lebih tekanan kepada skuad Hang Tuah.
"Perancangan kami adalah untuk mengawal permainan, mengekalkan penguasaan bola, bersabar, cipta peluang tetapi ia hanya terjadi pada separuh masa pertama. Masa seterusnya pemain dilihat tidak cukup berani, tenang dan agresif.
"Pertukaran pemain pada separuh masa kedua juga tidak membantu memberi lebih tenaga dan kreativiti di bahagian tengah pasukan,” katanya.
Pada aksi Liga Super itu, Penang FC dan MUFC terikat 1-1 selepas pemain tengah Harimau Kumbang, Muhammad Danial Ashraf Abdullah menjaringkan gol dari sudut sukar pada minit ke-27.
Namun skuad Hang Tuah yang tidak mengalah menyamakan kedudukan apabila asakan bertali arus menyaksikan kapten Harimau Kumbang, Abdul Latif Suhaimi menjaringkan gol sendiri pada minit ke-40.
Sementara itu, pengendali MUFC, Risto Vidakovic ternyata gembira pasukannya dapat meraih satu mata dari Stadium Bandaraya pada ketika skuad Hang Tuah hanya dapat melakukan persediaan singkat bagi perlawanan kedua liga tersebut.
Penang FC dan MUFC kini mengumpul satu mata selepas masing-masing mengharungi dua perlawanan liga.
"Saya gembira dengan usaha pemain yang hanya berlatih 10 hari sebelum perlawanan pembukaan. Saya dapat lihat prestasi anak buah semakin baik,” katanya.
Untuk rekod, Penang akan berdepan Sarawak United FC di Kuching manakala Melaka United bakal menerima kunjungan Sabah FC di Krubong pada 5 April.