Kes denggi di Kedah meningkat

Iklan
Kedah merekodkan peningkatan kes denggi sebanyak 101 kes atau 177.2 peratus dalam tempoh Januari hingga 6 Mac. - Gambar hiasan

ALOR SETAR - Kedah merekodkan peningkatan kes denggi sebanyak 101 kes atau 177.2 peratus dalam tempoh Januari hingga 6 Mac berbanding tempoh sama tahun lalu.

Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Othman Warijo berkata, jumlah kes yang direkodkan adalah 158 kes dengan 16 wabak berbanding dua wabak sahaja bagi tempoh sama tahun lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dalam tempoh itu, sebanyak 65,890 premis telah diperiksa dan 941 kompaun bernilai RM446,550 dikeluarkan kepada pemilik premis yang terdapat tempat pembiakan nyamuk aedes.

"Kompaun dikeluarkan di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975.

Iklan

"Semua wabak denggi berjaya dikawal dalam tempoh dua minggu," katanya dalam kenyataan akhbar di sini pada Rabu.

Dr Othman berkata, antara faktor penyumbang kepada peningkatan kes denggi di negeri ini adalah kekerapan hujan serta peningkatan pergerakan penduduk pada tahun lalu berbanding ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun sebelumnya.

Iklan

"Sehubungan itu, aktiviti pencegahan dipertingkatkan di lokaliti utama dan berisiko yang dikenal pasti di seluruh negeri ini.

"Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah turut melakukan aktiviti kawalan di semua lokaliti kes di semua daerah bagi memutuskan rantaian jangkitan," katanya.

Menurutnya, aktiviti kawalan vektor melibatkan pemeriksaan premis, semburan kabus, penghapusan tempat pembiakan dan pendidikan kesihatan untuk kawalan kes tunggal serta wabak.

"Bagi mencegah penularan penyakit ini, masyarakat perlu bersama-sama memikul tanggungjawab melaksanakan aktiviti membersihkan persekitaran serta mencari dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk aedes di kediaman dan premis masing-masing," katanya.

Dalam pada itu, Dr Othman turut menggalakkan rakyat Kedah untuk membudayakan aktiviti membersih rumah pada setiap Jumaat, yang diisytiharkan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebagai Hari Kebersihan untuk Kedah.

"Sebagai peringatan, gunakan semburan aerosol bagi membunuh nyamuk dewasa di dalam rumah. Gunakan repelan dan pakai pakaian berlengan panjang dan seluar panjang berwarna cerah ketika di luar rumah bagi mengelakkan gigitan nyamuk," katanya.

Katanya, orang ramai juga dinasihatkan agar menggunakan pembunuh jentik-jentik dalam bekas takungan air yang sukar dibersihkan.

"Dapatkan rawatan segera di klinik kesihatan sekiranya mengalami tanda-tanda awal seperti demam, sakit sendi dan ruam," katanya.