BATU PAHAT - Majlis Pemulihan Negara (MPN) menyarankan agar kerajaan memperinci semula garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) perjalanan ulang-alik harian Malaysia-Singapura susulan pengumuman pembukaan semula sempadan negara mulai 1 April.
Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebaiknya individu yang berulang-alik ke Singapura untuk bekerja tidak perlu menjalani kuarantin namun perlu mematuhi SOP ditetapkan.
"Kita nak mudahkan pembukaan sempadan supaya ekonomi kita akan tumbuh tapi kalau ada sekatan dan terlalu banyak peraturan termasuk ujian calitan, itu mungkin menghalang (pertumbuhan ekonomi).
"Seboleh mungkin, untuk Johor-Singapura tidak perlu kuarantin, (tetapi) ikut peraturan dan SOP, harap langkah sebegini diambil kira,” katanya kepada pemberita selepas Program Jelajah Dialog Agro bersama MPN di sini pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai SOP perjalanan harian ke negara itu selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Selasa mengumumkan pembukaan semula sempadan negara mulai 1 April ini.
Muhyiddin yang merupakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, blok politik itu berikrar untuk merancakkan semula ekonomi Johor dengan membangunkan sektor Pertanian Agromakanan sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, PN akan berusaha membangunkan sektor pertanian yang moden memandangkan Johor merupakan antara pengeluar utama bekalan makanan di negara ini.
"Setakat ini, Johor menjadi pengeluar utama bekalan makanan berbanding negeri lain dan sektor pertanian berpotensi dibangunkan tapi perlu dibangunkan secara teknologi moden.
"Dalam ikrar ini, ada perkara utama termasuk bantuan infrastruktur di sektor pertanian sama ada jalan, perparitan dan sebagainya... yang lepas sudah dibuat tapi untuk tingkatkan hasil pengeluaran, kita perlu berusaha dalam bidang itu,” katanya.
PN membariskan 56 calon untuk bertanding di semua kerusi pada PRN Johor.
Hari pengundian bagi PRN Johor ditetapkan pada Sabtu ini. - Bernama