Lapangan terbang negara sedia terima penumpang antarabangsa

Iklan
MAHB akan memastikan semua lapangan terbang antarabangsanya bersedia untuk menerima kemasukan penumpang dari luar negara. - Gambar kecil: Iskandar Mizal

SHAH ALAM - Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) akan memastikan semua lapangan terbang antarabangsanya bersedia untuk menerima kemasukan penumpang dari luar negara apabila sempadan dibuka semula pada 1 April ini.

Pengarah Urusannya, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, MAHB akan bekerjasama dengan pihak berkuasa termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menambah baik proses di lapangan terbang terutama ketika ketibaan penumpang.

Iklan
Iklan

"Kecekapan protokol keselamatan di lapangan terbang adalah bidang tumpuan utama kerana ia memainkan peranan penting dalam memastikan pengalaman pemprosesan penumpang yang menyenangkan.

"Kebanyakan penumpang sudah lama tidak melakukan perjalanan udara sejak wabak (Covid-19) bermula. Mereka mungkin tidak biasa dengan langkah tambahan yang diperlukan di lapangan terbang pada ketika ini," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Antara langkah yang telah diambil oleh MAHB untuk memastikan kesediaan lapangan terbang termasuk mengerahkan lebih ramai kakitangan pelanggan yang berpengalaman serta memasang lebih banyak papan tanda dan tempat duduk di seluruh terminal untuk kemudahan penumpang.

Selain itu, lebih 22,000 ahli komuniti lapangan terbang telah divaksin sepenuhnya dan MAHB juga ingin mengingatkan semua penumpang dan tetamu lapangan terbang untuk terus mematuhi semua protokol keselamatan bagi kebaikan orang ramai.

Iklan

Iskandar Mizal berkata, langkah tersebut bagi memastikan penumpang mempunyai tanggapan yang baik terhadap Malaysia sebaik sahaja mereka berada di negara ini.

"Ketersediaan portal Protokol Covid-19 akan sangat membantu dalam memudahkan proses ketibaan kerana penumpang kini boleh mendapatkan maklumat terkini dari satu sumber.

"Kami berharap untuk melihat pertumbuhan yang baik dalam pergerakan trafik penumpang dan pesawat antarabangsa kami kerana ini akan menyumbang dengan ketara kepada prestasi perniagaan kumpulan dan komuniti lapangan terbang," katanya.

Menurutnya, kemasukan pelancong juga akan kembali meningkat dan kesan limpahan di seluruh rantaian nilai akan memberi manfaat kepada ekonomi Malaysia secara positif.