SHAH ALAM - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pengeluaran dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibenarkan dengan segera setelah menyifatkan kerajaan gagal membantu rakyat yang terdesak.
Menurutnya, langkah itu kini dilihat perlu dilaksanakan meskipun sebelum ini beliau berpendirian sebaliknya.
"Seperti yang saya pernah kemukakan soal ini tahun lalu di Dewan Rakyat, saya agak keberatan untuk mendukung langkah ini kerana ia pasti memberi kesan kepada simpanan mereka di masa hadapan meski saya tahu pendirian ini sangat tidak popular di kalangan rakyat.
"Saya turut meletakkan syarat kepada kerajaan saat itu untuk menampung kerugian yang dialami rakyat akibat banjir sekiranya kerajaan enggan untuk membenarkan pengeluaran KWSP.
"Setelah kita melihat bahawa kerajaan seolah tidak ada jalan untuk merungkai kegagalan ini, saya kini mendukung agar pengeluaran ini dibenarkan sesegera mungkin dan tanpa ada apa-apa halangan dan kerenah birokrasi,"katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Anwar berkata, pendirian itu mengambil kira keluhan rakyat khususnya ketika jelajah beliau di seluruh Johor ketika ini.
"Saya terus mendengar keluhan di kalangan rakyat yang hari ini berada dalam keadaan yang amat terdesak dan menekan, terutamanya dalam jelajah saya di seluruh Johor yang sedang berlangsung.
"Kerajaan juga mesti ambil kira nasib golongan rakyat yang tidak mencarum," katanya.