Ibu tenang lihat anak hilang upaya membesar atas tilam

Iklan
Hamiza Suriati (kiri) menerima sumbangan bekalan susu untuk Mohamad Amirul yang disumbangkan oleh Kelab Kebajikan Cakna Kelantan.
PASIR MAS - Kemalangan motosikal di Padang Tok La ketika hendak mengunting rambut pada tahun 2010 lalu mengubah sepenuhnya hidup seorang remaja Mohamad Amirul Asyraf Saupi, 22, daripada normal kepada hilang upaya kekal.

Mohamad Amirul yang merupakan anak kedua kepada pasangan Saupi Mohammad, 45, dan Hamiza Suriati Ab Hamid, 43, kini hanya mampu terlantar diatas katil selepas koma selama dua minggu kesan kemalangan itu.

Lapan tahun terlantar diatas katil, bukan satu tugas mudah buat Hamiza Suriati memandangkan anak kedua daripada 10 beradik itu memerlukan penjagaan rapi sepanjang masa.

Setiap kali Mohamad Amirul diberikan susu, Hamiza Suriati perlu menyedut kahak menggunakan mesin penyedut kahak bagi mengelakkan permata hatinya itu berdepan masalah.

Namun disebalik kesedihan nasib yang menimpa Mohamad Amirul, raut wajah Hamiza Suriati tetap gembira apabila melihat anaknya itu membesar seperti anak-anak lain walaupun diatas tilam.

"Sebagai ibu, saya tetap bersyukur dapat melihat Mohamad Amirul membesar seperti remaja-remaja lain walaupun dalam keadaan terlantar begini.

"Selagi kudrat masih ada, saya dan suami akan terus memastikan tahap kesihatan Mohamad Amirul berada dalam keadaan baik," katanya ketika ditemui di Kampung Slow Machang di sini.

Terdahulu, Hamiza Suriati menerima kunjungan dari Pengerusi Kelab Kebajikan Cakna Kelantan (KKCK), Pui Tiong Lam yang menyerahkan sumbangan susu dan barang makanan bagi meringankan beban keluarga berkenaan.

Menurutnya, Mohamad Amirul bergantung sepenuhnya kepada susu untuk meneruskan hidup dan memerlukan perbelanjaan sekurang-kurang RM2,000 sebulan.

Orang ramai yang ingin membantu Mohammad Amirul boleh menyalurkan sumbangan di akaun Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) milik Hamiza Suriati 03-027-02-078899-9.