IBARAT durian runtuh, juara bina badan negara, Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah atau lebih dikenali sebagai Mike menerima hadiah sebuah pangsapuri bernilai RM198,000 kerana mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.
Pemberian itu diumum Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad melalui kerjasama kementerian dengan pemaju perumahan Aset Kayamas Sdn Bhd di Lobi Parlimen hari ini.
Iklan
Iklan
Mike, 45, yang berasal dari Kuala Lumpur merupakan juara peringkat dunia dalam kategori bina badan tiga kali berturut-turut dari 2016 hingga 2018 dan juara peringkat Asia empat kali berturut-turut pada 2015 hingga 2018.
Khalid dalam sidang akhbar di ibu negara berkata, sumbangan pangsapuri Residensi Wilayah, iaitu di Residensi Jalilmas itu juga sebagai dorongan dan semangat kepada atlet negara supaya berusaha lebih gigih bagi memajukan diri dalam bidang sukan sekali gus mengharumkan nama negara.
Pangsapuri Jalilmas dekat Bukit Jalil berkeluasan 800 kaki persegi itu mempunyai tiga bilik dan dua bilik air, diubah suai serta dilengkapi sepenuhnya dengan perabot dan barang-barang elektrik bernilai kira-kira RM46,000, ditaja sepenuhnya oleh Aset Kayamas.
"Kuncinya akan diserah kepada Mike pada 18 April ini kerana rumah sedang diubah suai dan akan diserahkan kepada Mike dalam keadaan berperabot sepenuhnya," katanya.
Sementara itu, Mike berkata penghargaan yang diberi kerajaan diharap akan menyuntik semangat untuknya melakukan lebih baik dalam bidang diceburi serta menaikkan semangat atlet lain. - Bernama