JDT berpesta gol

Iklan
Forestieri (kiri) meraikan jaringan bersama Bergson di Stadium Sultan Ibrahim sebentar tadi. - Foto Bernama

JOHOR Darul Ta'zim (JDT) berpesta gol selepas membenam pendatang baharu, Sarawak United FC 6-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri sebentar tadi.

Selepas sekadar meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas pada Jumaat lalu, skuad Harimau Selatan tampil dengan aksi lebih mantap apabila menguasai keseluruhan perlawanan.

Iklan
Iklan

Pesta gol JDT bermula seawal minit ke-15 apabila umpanan Nazmi Faiz Mansor disudahkan penyerang import, Fernando Forestieri yang merembat bola tepat ke penjuru kiri pintu gol Sarawak United.

Bergson Da Silva menambah ceria kem JDT apabila meledak gol kedua tuan rumah hasil hantaran lintang Ariff Aiman Hanapi pada minit ke-39.

Iklan

Sebaik bersambung babak kedua, Sarawak United cuba bangkit memburu gol, namun keampuhan dua bek JDT - Carli De Murga dan Shane Lowry menyukarkan pelawat merobek gawang tuan rumah.

Sarawak United terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-61 selepas pemain gantian, Raja Imran Shah Raja Amin dilayangkan kad kuning kedua selepas mengasari Safawi Rasid.

Iklan

Kesempatan itu digunakan sepenuhnya JDT yang menyaksikan Bergson meledak gol ketiga tuan rumah berselang dua minit kemudian hasil satu 'tipu helah' sepakan percuma yang diambil Forestieri.

Harimau Selatan menambah derita Sarawak United selepas bola sepakan sudut Ariff Aiman ditanduk masuk De Murga ke penjuru kanan pintu gol lawan pada minit ke-73.

Safawi terus menggamatkan stadium selepas menyudahkan bola umpanan Bergson pada minit ke-81 sebelum Forestieri melengkapkan malam gemilang JDT dengan gol keenam berselang empat minit kemudian.