TERBANG di awan biru menjadi impian dua figura ini kerana daripada kerjaya itulah mereka dapat membina rangkaian persahabatan apabila berpeluang bertemu ramai orang daripada pelbagai bahasa, ras dan agama. Kerjaya pramugara membawa mereka ke serata negara, lantas membina kekentalan jiwa, membentuk keyakinan diri dan semestinya menuntut kesabaran serta disiplin ketika berdepan penumpang-penumpang kapal.
Mereka belajar untuk menjadi profesional. Tidak hanya bersandar pada fizikal dan rupa yang kacak, keperibadian unggul juga menjadi tuntutan. Kepada kami, kru kabin AirAsia, Javad Hosseinpoor dan Muhammad Syukri Hassan bercerita mengenai kerjaya mereka dalam temu bual di pejabat AirAsia RedQ, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2, baru-baru ini.
Javad, 29, mesra dipanggil Parsa merupakan kru kabin AirAsia X yang berasal dari Iran, Tehran. AirAsia tempat kerja kedua Parsa.
Sebelum ini dia bertugas di kru kabin Qeshm Air, Iran selama empat tahun. Semasa AirAsia membuka laluan ke Tehran, Iran Parsa mengambil peluang memohon menjadi kru kabin AirAsia.
Dia kemudiannya diterima bekerja di Malaysia pada September 2016. Kini Parsa bertugas dalam penerbangan perjalanan jarak jauh melebihi empat jam perjalanan.
Antara penerbangan yang pernah dilawati Parsa ialah Tehran, Sydney, Busan, Jaipur dan Osaka.
Syukri, 21, pula anak kelahiran Kuala Lumpur yang sebelum ini bekerja sebagai barista di Starbucks.
Sejak menyertai kru kabin AirAsia Syukri ditugaskan untuk penerbangan dekat (short haul fliht) tidak melebihi empat jam.
Antara negara di bawah perjalanan Syukri ialah Krabi, Bali, Bangkok, Bandar Aceh dan Singapura.
Kedua-duanya sangat sporting menjawab soalan-soalan yang diutarakan Oh! Lelaki.
1. Apa yang mendorong anda berdua bekerja sebagai pramugara?
PARSA: Sebenarnya semasa remaja, saya tahu bahawa saya tidak boleh bekerja dalam suasana pejabat. Saya pernah mempunyai peluang untuk bekerja di pejabat bersama ayah.
Namun jauh di sudut hati saya menolaknya. Saya tidak mahu hanya duduk di sebalik meja sambil membuat kerja. Saya ingin bekerja dalam bidang yang boleh memberikan kebebasan untuk saya bergerak, contohnya menjelajah.
Kebetulan saya mempunyai seorang rakan bekerja di syarikat penerbangan. Dia cadangkan saya untuk bekerja sebagai kru kabin. Di sana katanya saya dapat berjumpa orang ramai daripada pelbagai budaya, bangsa dan agama.
Selepas saya mengkaji dengan lebih mendalam tentang profesion ini saya mula jatuh cinta dengan kerjaya ini.
SYUKRI: Sebelum saya bekerja di AirAsia sebagai kru kabin, saya tidak pernah terfikir untuk jadi pramugara. Sebelum ini saya bekerja sebagai seorang barista Starbucks. Ketika sedang bekerja seorang rakan syorkan saya untuk memohon kerja sebagai pramugara di AirAsia.
Masa itu ada dua pilihan kerjaya. Satu menjadi pramugara dan satu lagi sebagai polis. Setelah dipertimbangkan saya pilih bekerja sebagai pramugara, ia lebih seronok dan gaji juga amat lumayan. Syarikat bayar mengikut tempoh masa penerbangan dalam menentukan gaji yang kami terima.
2. Bagaimana mengekalkan penampilan menarik?
PARSA: Kami diberikan satu set pakaian seragam yang terbaik. Tugas kami perlu memperagakan pakaian tersebut dengan cara terbaik. Selain, mengutamakan penampilan diri, saya turut berpendapat perkara yang perlu diutamakan dari segi menjaga keselamatan penumpang. Untuk itu, amat penting kami mengekalkan kecergasan pada setiap masa. Saya tidak menafikan memiliki raut wajah tampan merupakan sebahagian keperluan dalam kerjaya ini. Ramai juga yang anggap kami hanya mementingkan penampilan diri. Sebenarnya kami juga menitikberatkan keselamatan penumpang. Jadi amat penting untuk kami mengambil makanan yang berkhasiat dan mendapatkan tidur yang secukupnya untuk memiliki fizikal dan mental yang cergas.
SYUKRI: Saya amat bersyukur semasa diterima menjadi pramugara. Kami bermula dengan menghadiri kelas di akademi AirAsia selama tiga bulan. Kami diajar tentang keselamatan dan first aid, kelas grooming, cara mengawal penumpang dan pesawat. Dari situlah saya banyak belajar.
Saya sebenarnya tidak tahu apa-apa tentang penjagaan diri. Akademi itu melatih diri saya untuk menjadi seorang berkaliber dan yakin. Kami diajar untuk sentiasa tersenyum. Apabila menumpang melihat kami tersenyum mereka akan berasa seronok.
Kami juga perlu kekal sihat. Jika kami demam atau tidak sihat, kami disarankan untuk mengambil cuti sakit. Penting untuk kami kekal sihat disebabkan kami perlu menjaga keselamatan penumpang.
Setiap tahun kami perlu belajar dan ada ujian. Kejayaan dalam ujian itu menentukan lesen penerbangan sebagai pramugara diperbaharui. Lesen itu hanya sah dalam tempoh setahun. Namun, jika pramugara gagal dalam ujian yang diambil mereka boleh mengulang semula sehinggalah lulus.
3. Bagaimana menjaga kesihatan, pemakanan dan berat badan?
PARSA: Dari segi pemakanan saya akan ambil makanan sihat, bersih dan bukan makanan segera. Saya juga tidak minum alkohol. Bagi saya ia bukan tentang pemakanan sihat yang diambil, tetapi juga cara kami menyesuaikan diri dengan negara dan makanan berlainan. Selain itu, saya turut mengamalkan untuk tidak mengambil makanan dalam tempoh dua atau tiga jam sebelum penerbangan.
Bagi saya jika terlalu kenyang ia akan merencatkan waktu kerja. Kerja akan menjadi perlahan dan mengganggu tanggungjawab yang dipikul. Kami perlu ke gim dan boleh dikatakan 95% kru akan ke gim hampir setiap hari. Ia turut menjadi mudah buat kami apabila AirAsia turut menyediakan kelengkapan gim.
Bukan hanya di sini, saya turut ke gim di kawasan taman perumahan saya. Niat saya bukan untuk kelihatan kacak, tetapi kami perlu kekal sihat untuk menjaga keselamatan penumpang. Sebabnya apabila sakit, ia akan memberi kesan kepada penerbangan ketika itu.
Kami turut dibantu oleh seorang kabin kru yang akan memantau kenaikan berat badan. Setiap seminggu sekali akan ada pemeriksaan. Kami akan diukur mengikut berat dan ketinggian anda. Jika berat berlebihan mereka akan diberikan masa seminggu untuk kembali kepada berat yang asal.
SYUKRI: Dalam menjaga kesihatan diri saya bersenam setiap hari. Saya juga menjaga pemakanan dengan tidak mengambil makanan selepas jam 10 malam. Untuk tampil cergas saya ambil vitamin C, ia membantu saya tidak berasa penat dan mengantuk.
Saya turut amalkan pengambilan suplemen untuk mendapatkan tenaga tambahan terutama apabila bekerja dalam zon waktu berbeza setiap kali penerbangan. Perkhidmatan yang disediakan oleh AirAsia turut membantu, di mana menyediakan pemeriksaan kesihatan setiap tahun. Ia secara tidak langsung dapat mencegah penyakit serius. Saya juga berasa gembira dengan kelonggaran yang diberikan oleh AirAsia kepada kami seperti dibenarkan mewarnakan rambut dan menyimpan jambang.
4. Cabaran terbesar yang dihadapi?
PARSA: Saya lebih suka jika cabaran ini kita anggap sebagai apa yang boleh kita pelajari atas apa yang terjadi setiap hari. Pertama, cabaran ini lebih kepada bagaimana kru kabin itu menepati masa. Semua perkara perlu mengikut masa. Jika kita bekerja mengikut jadual yang ditetapkan segala cabaran ini tidak akan ada masalah.
Ramai yang ingat kerja kami bermula selepas memasuki pesawat. Sebenarnya kerja kami ini bermula lima jam sebelum penumpang masuk ke dalam pesawat. Untuk itu kami perlu bangun awal pagi, perlu bersiap untuk mendengar taklimat sebelum penerbangan.
Setiap penerbangan itu kami akan berhadapan dengan penumpang, kelakuan dan permintaan yang berbeza. Setiap cabaran ini kami perlu sentiasa bersedia. Contohnya pernah terjadi seorang budak menangis sepanjang perjalanan. Menjadi tugas kami untuk membantu ibu bapa menenangkan anak itu. Maklum kita terbang pada paras 14,000 kaki ia akan memberi kesan kurang menyenangkan pada badan. Mungkin anak tersebut menghadapi masalah untuk tidur atau kelaparan.
SYUKRI: Saya sangat bertuah dilahirkan di Malaysia. Adab sopan dan tingkah laku kita sudah diajar dari kecil untuk bersederhana dalam segala hal. Yang menjadi cabaran bagi saya apabila berhadapan dengan tekanan udara tinggi. Sebab itu saya mengambil vitamin C untuk membantu mengatasi masalah itu.
Cabaran juga ketika berhadapan dengan kerenah penumpang. Contohnya situasi penumpang itu sedang marah. Kita harus tahu cara yang tepat untuk tenangkan mereka. Begitu juga apabila penumpang itu jatuh sakit atau perlukan bantuan pernafasan. Semua itu perlukan kita bersedia dari segi mental dan fizikal.
5. Bolehkah kerjaya ini berterusan sampai usia senja?
PARSA & SYUKRI: Pada kami ia bergantung pada kesihatan. Tidak mustahil kerana ada pramugara yang masih bekerja ketika umur 50 dan 60 tahun. Mungkin jika mereka tidak boleh lagi bertugas di awan biru masih ada skop kerja boleh dibuat seperti menjadi eksekutif kru kabin, juruaudit, operasi kru kabin atau bekerja di pejabat.
6. Kelebihan bekerja sebagai pramugara?
PARSA: Pertama, boleh mengembara dan melihat tempat yang anda ingin lihat atau impikan. Kedua anda dapat belajar tentang negara lain dari segi budaya, tingkah laku mereka dan sudah pasti anda dapat ramai kawan.
Suka saya tekankan untuk menjadi pramugara ini bukan hanya bergantung pada wajah kacak atau cantik. Mereka perlu bijak menyesuaikan diri apabila berada di tempat orang, belajar menghormati budaya dan hak orang lain di negara berbeza. Seperti yang saya katakan sebelum ini jika anda tidak suka bekerja di pejabat, kapal terbang pilihan terbaik boleh anda buat.
SYUKRI: Sudah pasti kelebihan kita boleh menjelajah dan dapat berkenalan dengan orang baharu setiap kali penerbangan. Bukan saja dapat menambah kenalan dalam kalangan penumpang juga daripada kru penerbangan.
Kami turut menikmati diskaun penerbangan. Kami hanya perlu membayar cukai lapangan terbang sahaja jika ingin menggunakan penerbangan AirAsia dan menikmati RM10 setiap hari untuk elaun makan/minum di RedQ.
7. Ceritakan secara ringkas manis dan pahit sepanjang menjadi pramugara?
PARSA: Saya masih ingat pengalaman manis yang terjadi tahun lepas. Ia melibatkan seorang kapten kapal yang akan bersara. Ketika penerbangan terakhirnya, dia telah membuat sesuatu yang begitu bermakna. Dia telah keluar dan berdiri di hadapan semua penumpang, semata-mata untuk membuat pengumuman tentang penerbangan.
Sedangkan kebiasaan 99% kapten kapal hanya akan membuat pengumuman itu di dalam kokpit bukannya keluar berjumpa penumpang. Saya masih ingat ucapannya iaitu"Hai, ini adalah penerbangan terakhir saya sebagai kapten. Saya anggap anda semua amat istimewa.”
ucapan itu amat menyentuh hati saya terutama melihat ada air mata berlinangan di pipi kapten kapal itu. Saya tahu perasaannya itu kerana kami anggap orang yang menggunakan khidmat AirAsia sebagai ahli keluarga. Sampai bila pun akan sentiasa dianggap sebagai keluarga.
SYUKRI: Semasa penerbangan ke Banda Acheh, Indonesia, salah seorang penumpang pengsan. Semua penumpang berada dalam keadaan takut melihat situasi itu. Apa yang saya buat adalah berikan bantuan pernafasan, dan kru kabin meminta mengubah haluan penerbangan. Untuk membawa pesakit ke hospital terdekat. Penumpang itu mengucapkan terima kasih kerana telah menyelamatkan nyawanya.
Itulah saat paling berharga buat diri saya kerana berjaya memberikan bantuan pernafasan. Yang pahitnya kami semua kru kabin perlu membuat pemeriksaan kesihatan selepas itu kerana pesakit tersebut mengidap Tuberkulosis (TB).
8. Apabila tragedi MH17 dan MH370 berlaku termasuk kes kapal terbang AirAsia yang terhempas di Kalimantan beberapa tahun lalu, ramai mengandaikan kerjaya ini tidak selamat, anda sendiri bagaimana, tidak takut dan tetap memilih jadi pramugara?
PARSA: Saya suka memberi gambaran mereka yang menyertai kerjaya penerbangan ini seperti berjalan masuk ke dalam bilik yang gelap. Berada di dalam bilik yang gelap kita tidak tahu apa yang ada di dalamnya, mesti kita takut. Setelah lampu dibuka rupanya dalam bilik itu tidak ada apa-apa.
Tidak semestinya apabila sebuah pesawat itu terhempas, penerbangan seterusnya tidak lagi selamat. Sedangkan sebelum pesawat itu terhempas banyak benda akan berlaku. Ia bukan melibatkan tenaga kerja kru kabin dan kapten sahaja. Ramai orang bekerja sebelum kapal itu berlepas. Sudah semestinya sebelum kapal itu berlepas kakitangan, juruteknik dan sebagainya akan memastikan keadaan kapal selamat tiba ke destinasi.
Namun jika sebaliknya berlaku sebagai pekerja yang bekerja dalam kru kabin apa yang boleh saya katakan kita perlu membuat kajian, mencari punca dan sebab berlakunya kesilapan itu. Kita harus belajar daripada kesilapan agar tidak mengulanginya lagi.
SYUKRI: Sekarang saya tidak lagi takut. Sebelum menyertai kru kabin ramai kawan cuba menakutkan saya dengan pelbagai cerita. Setelah diajar dari segi keselamatan, kita sebenarnya boleh mencegah dan mengelak kejadian menjadi lebih teruk. Contohnya kami diajar jika kapal terbang terjatuh ke dalam laut, kami harus tahu cara untuk membuka pintu sebelum dan selepas terjatuh serta tindakan selepas itu.
Bagi saya ia bukan satu halangan untuk meneruskan kerjaya ini. Yang penting kita harus utamakan keselamatan penumpang. Jadi saya berharap sangat penumpang memberi perhatian ketika pramugara atau pramugari memberi penerangan tentang demo keselamatan ketika berada di atas kapal. Memang ia nampak remeh, namun jika diamalkan penumpang akan selamat jika mengingati cara untuk berhadapan dengan situasi genting.
9. Apa pesanan anda kepada mereka yang mempunyai impian menjadi pramugara? Perlu ke rupa dan wajah kacak?
PARSA: Pertama sekali mereka harus lihat kerjaya ini daripada pelbagai aspek. Bukan pada pakaian dan penampilan tetapi perlu mengambil kira aspek lain juga. Mereka yang terpilih sebagai kru kabin bagi saya seorang yang sangat istimewa.
Jika hendak menjadi kru kabin, nasihat saya yang pertama mereka harus membiasakan diri dengan situasi. Waktu kerja, suasana, berhadapan dengan orang yang berbeza dan budaya yang berlainan. Mereka juga perlu mengasah kemahiran berbahasa Inggeris. Perlu pergi ke gim selalu untuk membina kecergasan diri. Selain harus pandai menyelesaikan masalah sama ada kecil atau besar. Yang penting anda harus menjadi diri anda sendiri dengan cara yang terbaik.
SYUKRI: Bagi saya perlu ada minat untuk bekerja dalam bidang ini. Mempunyai rupa yang kacak ia satu bonus. Namun yang penting kelakuan diri mesti baik. Ada nilai kesopanan dan boleh menenangkan orang yang sedang marah dengan anggap mereka seperti keluarga. Boleh mengatasi sifat baran untuk berhadapan dengan 180 penumpang dengan pelbagai kerenah. Selain perlu ada sifat peramah dan ceria.
Bukan itu sahaja, anda jangan terkejut apabila bekerja dengan AirAsia, anda diminta untuk berikan hiburan. Contohnya ada penumpang meminta menyanyikan ucapan selamat hari jadi dan sebagainya.
Syarat lain anda harus bersedia dengan perubahan waktu kerja yang sentiasa berubah. Hari ini anda kerja jam 3 pagi esok anda perlu bekerja jam 6 pagi. Semua ini perlu anda hadapi dan sentiasa dengan penampilan yang menarik.
ANEKDOT
PORTFOLIO
NAMA: Javad Hosseinpoor/ Parsa
UMUR: 29 ASAL: Iran, Tehran
ADIK BERADIK: 7 Orang
STATUS: Bujang
LATAR PENDIDIKAN: Pengaturcaraan Komputer
HOBI: Gimnasium, membaca buku mengenai penerbangan, menonton wayang
DESTINASI DIGEMARI: Australia, Tokyo dan Jepun.
NAMA PENUH: Muhammad Syukri Hassan/ Syukri
UMUR: 21
ASAL: Kuala Lumpur, Malaysia
ADIK BERADIK: 6 orang
STATUS: Bujang
HOBI: Melancong
DESTINASI DIGEMARI: Tokyo, Jepun, Bali, Indonesia, Seoul, Korea Selatan.