Kenari dicabar sengit City Boys sebelum raih tiga mata

Iklan
Fayadh menjaringkan gol ketiga buat Sang Kenari untuk menewaskan The City Boys 3-2 pada perlawanan kedua Liga Super 2022 di Stadium Darul Aman pada Rabu. FOTO KDA FC.

NAIB juara Liga Super musim lalu, Kedah Darul Aman (KDA) FC diberikan cabaran sengit oleh Kuala Lumpur City FC sebelum menang 3-2 pada aksi kedua Liga Super 2022 di Stadium Darul Aman pada Rabu.

Terdahulu, Sang Kenari dikejutkan jaringan awal pelawat menerusi Zhafri Yahya meledak gol pembukaan pada minit ke-28 dengan memanfaatkan hantaran Paulo Josue untuk berada di hadapan 1-0 selepas berlaku sedikit kekalutan di hadapan pintu gol pasukan tuan rumah.

Iklan
Iklan

Syafiq Ahmad kemudiannya memberikan kelegaan kepada penyokong tuan rumah apabila menanduk gol menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-32 selepas menerima hantaran menarik Al-Hafiz Harun.

KL City kemudiannya meningkatkan tempo serangan bagi memastikan KDA FC tidak terlalu selesa dan mereka hampir kembali berada di hadapan menerusi percubaan Ryan Lambert pada minit ke-36 namun terkena palang sebelum tamat separuh masa pertama.

Iklan

The City Boys terus memberikan tekanan sebaik separuh masa kedua bermula dan penyerangnya, Kevin Koubemba melakukan percubaan tepat ke pintu gol tuan rumah pada minit ke-61 namun berjaya ditepis keluar oleh Shahril Saari.

KDA FC kemudiannya melakukan rombakan pada minit ke-67 dan hasilnya tuan rumah menambah dua lagi jaringan dalam tempoh dua minit menerusi Fayadh Zulkifli pada minit ke-68 dan Dennis Buschening pada minit ke-69 untuk meletakkan tuan rumah 3-1 di hadapan.

Iklan

Pelawat kemudiannya merapatkan kedudukan kepada 3-2 menerusi Koubemba pada minit ke-87 selepas Shahril gagal menangkap kemas tandukan pemain tersebut dan keputusan tersebut kekal ke wisel penamat.