Pengumuman baik pun dikritik

Iklan
Foto hiasan 123RF

SELEPAS kerajaan mengumumkan aktiviti solat jemaah di masjid atau surau boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal dan prosedur operasi standard (SOP) akhir tertakluk kepada ketetapan pihak berkuasa agama negeri, masih kedengaran suara-suara tidak berpuas hati.

Dalam sidang akhbar oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Selasa, Merak Jalanan sempat menjenguk ruangan komen untuk melihat reaksi rakyat.

Iklan
Iklan

Ramai mengucapkan syukur dengan keputusan kerajaan, lebih-lebih lagi bulan Ramadan bakal tiba. Namun, ada sebilangan rakyat Malaysia melihat pengumuman itu sebagai janji kosong bagi mengaburi mata dan menarik sokongan untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Malah, ada antara mereka melontarkan dakwaan mengatakan kerajaan membuat pengumuman membenarkan tiada penjarakan fizikal ketika solat tetapi akan dihalang untuk menunaikan solat di masjid kerana tidak mengambil dos penggalak.

Iklan

Merak Jalanan hairan dengan komen-komen seumpama ini kerana berterusan menyalahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), walhal Ismail Sabri telah menjelaskan SOP akhir tertakluk kepada pihak berkuasa agama negeri.

Sama seperti solat Jumaat di Selangor. SOP menetapkan jemaah lengkap dua dos vaksin dan dos penggalak dibenarkan hadir dan hanya terpakai di masjid serta surau negeri berkenaan. Setakat ini Selangor sahaja mengetatkan SOP untuk solat Jumaat dan negeri-negeri lain masih seperti biasa.

Iklan

Tidak salah untuk mengkritik tetapi biarlah berasas dan berfakta. Dakwaan yang tidak dapat dibuktikan kesahihannya itu adalah satu bentuk fitnah dan sebagai orang Islam, semua tahu apakah hukumnya.

Merak Jalanan fikir, daripada terus membangkang walaupun untuk perkara baik, ada eloknya mereka bermuhasabah dan bertanyakan kepada diri sendiri, apakah betul tindakan yang dibuat mendatangkan kebaikan kepada semua.