Arkib Negara anjur program sempena 100 tahun kelahiran Tun Abdul Razak

Iklan
Arkib Negara akan melaksanakan pelbagai aktiviti sempena memperingati 100 tahun kelahiran Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Abdul Razak Hussein yang akan disambut pada Jumaat ini.

KUALA LUMPUR - Arkib Negara akan melaksanakan pelbagai aktiviti sempena memperingati 100 tahun kelahiran Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Abdul Razak Hussein yang akan disambut pada Jumaat ini.

Ketua Pengarah Arkib Negara, Jaafar Sidek Abdul Rahman berkata, sebagaimana negarawan lain, sambutan memperingati 100 tahun kelahiran itu adalah sebagai manifestasi untuk memperingati dan mengenang jasa Bapa Pembangunan Negara tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Arkib Negara amat berbesar hati apabila mendapat sokongan pelbagai pihak dalam menjayakan pelbagai program sepanjang tahun, termasuk daripada keluarga Allahyarham dan Yayasan Tun Razak.

"Program ini kita akan jayakan sehingga November ini, yang mana ia akan dimulakan dengan majlis bacaan Yasin dan tahlil pada Jumaat ini, yang juga tarikh ulang tahun kelahiran Tun Abdul Razak di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.

Iklan

"Arkib Negara juga mengadakan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi awam dan swasta untuk menganjurkan Pameran Tun Abdul Razak seperti di Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Teknologi Mara, Universiti Antarabangsa Unitar dan Universiti Tun Abdul Razak (Unirazak),” katanya ketika ditemui Sinar Harian di pejabatnya di sini, pada Rabu.

Jaafar Sidek

Jelas Jaafar, antara program kemuncak yang dijangka menarik perhatian ramai adalah Bicara Negarawan Ekslusif yang akan menampilkan Tun Hanif Omar yang bertanggungjawab sebagai Ketua Pegawai Turus (Polis) Majlis Gerakan Negara (Mageran) bermula 16 Mei 1969 yang dijangka berlangsung pada penghujung bulan Mac.

Iklan

Arkib Negara dan Yayasan Tun Razak juga akan bekerjasama menjayakan Program Bicara Negarawan: Bapa Pembangunan Malaysia membabitkan beberapa pembicara dan akan berlangsung di negeri kelahiran negarawan itu iaitu di Pahang pada Jun nanti.

Hari Terbuka Memorial Tun Abdul Razak pula akan berlangsung sepanjang Ogos manakala Bicara Negarawan: Tun Abdul Razak sempena Hari Malaysia pula akan diadakan di Sabah dan Sarawak pada September ini.

"Arkib Negara, Yayasan Tun Razak dan Universiti Pendidikan Sultan Idris pula akan mengadakan wacana berkaitan sumbangan Tun Abdul Razak dalam pendidikan negara, antaranya Penyata Tun Razak yang dijangka pada Oktober atau November ini.

"Wacana ini juga bersempena dengan sambutan 100 tahun penubuhan UPSI,” jelasnya.