'Kini hanya mampu terlantar'

Iklan
Nor Azmi (kiri) menunjukkan perut yang ditebuk pada Afiq untuk menyalurkan susu.

JENGKA - [DIKEMAS KINI] Dunia seorang remaja berubah sekelip mata selepas terbabit dalam kemalangan pada Januari tahun lalu.

Muhammad Amirul Afiq Nor Azmi,16, dari Felda Jengka 20 di sini kini hanya mampu terlantar di atas katil dan minum susu khas menerusi perut yang ditebuk.

Iklan
Iklan

Malah hasrat anak bongsu dari empat beradik itu untuk berjaya dalam arena bola sepak juga tidak kesampaian.

Bapanya, Nor Azmi Nong Chik, 42, memberitahu, segalanya bermula ketika motosikal yang ditunggangi Amirul terbabas dan turut meragut nyawa seorang rakan yang menunggang motosikal lain pada 25 Januari 2021.

Iklan
Nor Azmi Nong Chik

"Kejadian itu menyebabkan anak saya koma kira-kira sebulan selain menerima rawatan dua bulan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh dan empat bulan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.

"Selain itu anak saya juga telah menjalani dua kali pembedahan dan kini perlu berulang alik ke hospital untuk beberapa janji temu ke Hoshas setiap bulan dan tiga bulan sekali ke HTAA.

Iklan

"Untuk ke hospital, kami perlu membayar kos ambulans yang mencecah ribuan ringgit ke Kuantan selain ke Temerloh kira-kira RM500 selain perlu membayar kos fisioterapi RM200 bagi setiap sesi," ujarnya lagi.

Keluarga itu ditemui ketika menerima kunjungan dan sumbangan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jengka 16 pada Rabu yang diketuai Pengerusinya, Ahmad Awang.

Sumbangan yang disampaikan oleh PIBG SMK Jengka 16 oleh AJK persatuan,Irrayati Md Nayan (empat dari kiri) kepada Sariah(dua dari kiri) sambil diperhatikan Nor Azmi (tiga dari kiri) dan Ahmad(kiri) di kediaman keluarga itu di Felda Jengka 20 pada Rabu.

Dalam pada itu, Nor Azmi yang hanya bekerja sendiri mengakui perbelanjaan tinggi diperlukan untuk rawatan anaknya termasuk susu khas yang berharga RM73 setin, sekurang-kurangnya sembilan tin setiap bulan.

"Kira-kira sembilan tin diperlukan sebulan, namun demi anak, saya dan isteri, Sariah Mat Atar, 49, berusaha sehabis mungkin dan kami menaruh harapan anak kembali sembuh, ceria dan aktif seperti dulu," jelasnya.

Tambahnya, selain pernah mendapat bantuan zakat, mereka menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM500 sebulan.

Dalam pada itu, Sariah memberitahu, suaminya banyak menguruskan anaknya termasuk memberikan susu setiap tiga jam sekali kerana keadaan dirinya yang turut menghidap beberapa penyakit antaranya kencing manis serta darah tinggi.

Muhammad Amirul Afiq yang kini terlantar selepas terbabit dalam kemalangan pada Januari tahun lalu.

Sementara itu, Ahmad memberitahu, pihaknya bersimpati dengan nasib keluarga tersebut selain membantu mengikut kemampuan pihak persatuan.

Bagi mereka yang ingin mengurangkan beban keluarga tersebut boleh menyalurkan sumbangan ke dalam akaun Maybank (156141571419) atas nama Sariah binti Mat Atar atau menghubungi talian 01119776453 bagi maklumat lanjut.