Sindiket penyeludupan minuman keras tumpas

Iklan
Rosman (tengah) menunjukkan minuman keras yang dirampas.

KLANG - Pasukan Polis Marin (PPM) menumpaskan kegiatan penyeludupan dan pengedaran minuman keras tanpa cukai dalam serbuan berasingan di daerah ini, tengah hari tadi.

Komander PPM Wilayah 1, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, bertindak atas maklumat dan risikan, pihaknya berjaya menahan sebuah van jenis Nissan Urvan di Jalan Sungai Jati, Sentosa, kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pemeriksaan menemui sejumlah minuman keras di dalam van terbabit sebelum polis menahan pemandu seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan minuman keras yang dibawa.

"Soal siasat kemudian membawa serbuan di sebuah stor simpanan barang lusuh di Taman Klang Ria.

Iklan

"Pemeriksaan menemui pelbagai jenama minuman keras di dalam stor serta lori lima tan jenis Hino. Turut ditahan adalah tiga lelaki warga Indonesia berusia lingkungan 20 hingga 35 tahun disyaki pekerja di premis terbabit," katanya dalam sidang media di Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang, hari ini.

Beliau berkata, minuman keras yang dirampas adalah Heineken (1,446 drum), Skol Super Strong (2,928 tin), King Fisher (2,640 tin), Bullet (1,800 tin) dan Guinness Stout (240 botol) dianggar bernilai RM302,377.83.

Iklan

Katanya, siasatan masih dijalankan bagi mengesan dalang utama sindiket ini.

"Siasatan juga tertumpu bagi mengenal pasti sejak bila sindiket ini bergiat aktif dan dari mana bekalan minuman keras ini diperolehi.

"Kita akan terus mempertingkatkan lagi pengumpulan maklumat dan operasi dari semasa ke semasa bagi menangani aktiviti penyeludupan di perairan negara. Masyarakat diminta menjadi mata dan telinga bagi menyalur maklumat jenayah," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (d)(1) Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen.