PIHAK pengurusan Perak FC tidak menafikan dakwaan timbul masalah tunggakan gaji membabitkan barisan kejurulatihan kelab Liga Premier itu sejak September tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Muhammad Yunus Zakariah berkata, pihaknya akan berusaha sedaya upaya menyelesaikan beban ‘hutang lapuk’ yang ditinggalkan pengurusan terdahulu.
"Saya akui dakwaan itu memang benar dan tunggakan gaji itu secara keseluruhannya adalah daripada pihak pengurusan sebelum ini. Ia melibatkan gaji (tertunggak) mulai September 2021.
"Sebahagian daripada mereka (jurulatih) sudah pun dibayar gaji bagi bulan Ogos 2021. Apa pun pihak pengurusan baharu akan melangsaikan tunggakan gaji berkenaan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.
Pada Selasa, Sukar Sinar melaporkan isu tunggakan gaji yang melanda Perak FC ketika ini bukan sahaja melibatkan pemain, malah barisan jurulatih juga dipercayai belum menerima gaji masing-masing.
Menurut sumber yang enggan didedahkan namanya, beliau dan beberapa jurulatih masih belum dibayar gaji oleh pihak pengurusan Perak FC sejak beberapa bulan lalu.
Mengulas lanjut, Muhammad Yunus berkata, kelewatan menjelaskan tunggakan gaji berkenaan adalah disebabkan pihaknya mahu memberikan fokus untuk membayar gaji bagi Januari dan Februari 2022.
"Keutamaan kami buat masa ini adalah untuk membayar tunggakan dua bulan gaji (Januari dan Februari 2022). Diharapkan tunggakan gaji dua bulan itu dapat diselesaikan secepat mungkin,” jelasnya.
Pada 23 November tahun lalu, Impact Media & Communication (IMC) Sdn Bhd diumum sebagai pemilik baharu Perak FC selepas memiliki 100 peratus pegangan saham Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA).