14 PATI ditahan cuba masuk Malaysia

Iklan
Kesemua PATI berusia 21 hingga 51 tahun termasuk tekong dari daerah Seruway Acheh cuba memasuki negara melalui jalan laut yang tidak diwartakan.

GEORGETOWN - [DIKEMAS KINI] Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan 14 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba memasuki perairan negara di sini pada pagi Rabu.

Pengarahnya, Kapten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, kesemua mereka ditahan melalui Op Pertiwi selepas pihaknya menerima maklumat daripada komuniti nelayan mengenai sebuah bot yang mencurigakan kira-kira jam 9.30 pagi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hasil maklumat itu sepasukan anggotanya berjaya mengesan sebuah bot kayu yang dipercayai dari Indonesia bersama 14 penumpang di kedudukan 2.9 batu nautika barat daya Sungai Pinang.

"Ketika bot ronda kita menghampiri bot terbabit mendapati empat individu dalam bot berkenaan bertindak terjun ke dalam laut untuk melarikan diri namun usaha mereka ternyata sia-sia selepas berjaya ditahan.

Iklan

"Hasil pemeriksaan mendapati kesemua mereka dipercayai warga Indonesia berusia 21 hingga 51 tahun termasuk tekong dari daerah Seruway Acheh cuba memasuki negara melalui jalan laut yang tidak diwartakan,"katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.

Abd Razak berkata, kesemua PATI yang ditahan dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Ubat sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

Iklan

Katanya, kes akan disiasat di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu kesalahan melakukan aktiviti penyeludupan migran dan memasuki negara melalui pintu yang tidak diwartakan.