ALOR SETAR - Ketua jurulatih Kedah Darul Aman (KDA) FC Aidil Sharin Sahak memuji persembahan pemainnya yang berjaya mencatatkan kemenangan kedua Liga Super selepas menewaskan KL City FC di Stadium Darul Aman, di sini malam tadi.
Beliau berkata, kejayaan menewaskan juara Piala Malaysia musim lepas itu amat penting dan berharap momentum serta prestasi pemainnya dapat dikekalkan dalam perlawanan seterusnya.
"Syukur kami telah mencapai objektif yang diinginkan malam ini (malam tadi) dengan mengutip tiga mata yang tentunya penting buat pasukan. Tahniah semua pemain, walaupun pada mulanya kita ketinggalan 0-1, mereka tak patah semangat dan kembali memberi tentangan.
"Bermain dengan KL City FC bukanlah mudah, ada kesilapan yang kami lakukan, tapi pemain cepat membaiki kelemahan dan alhamdulillah, saya gembira dengan tiga mata malam ini," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan yang menyaksikan KDA FC menewaskan KL City FC 3-2 malam tadi.
Beliau berkata, beberapa pemain muda yang diberikan peluang bermain dalam perlawanan turut mempamerkan persembahan membanggakan dan berharap prestasi itu diteruskan bagi mengharungi perlawanan sepanjang musim ini.
Pada perlawanan itu, pasukan tuan rumah terlebih dahulu ketinggalan 0-1 menerusi jaringan pemain tengah KL City FC, Zhafri Yahya pada minit ke-28, namun bangkit semula dengan gol penyamaan menerusi Muhammad Syafiq Ahmad pada minit ke-32.
Gol kedua dan ketiga KDA FC pula hadir masing-masing menerusi Mohd Fayadh Mohd Zulkifli Amin pada minit ke-67 dan Dennis Buschening pada minit ke-69 manakala gol kedua pasukan pelawat dijaringkan Kevin Brandon Xavier Koubemba pada minit ke-87. -Bernama