Guardiola gembira City ke suku akhir

Iklan
Penyerang City, Raheem Sterling (kiri), diasak pertahanan Sporting Lisbon pada aksi kedua kalah mati Liga Juara-Juara di Etihad, pada Khamis. - Foto EPA

PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola mengakui gembira dengan kejayaan skuad kendaliannya itu mara ke suku akhir Liga Juara-Juara biarpun sekadar terikat tanpa jaringan berdepan Sporting Lisbon di Etihad pada Khamis.

Menurut Guardiola, apa yang penting skuad kendaliannya itu berjaya mengesahkan slot ke suku akhir kali ini susulan kemenangan 5-0 ke atas kelab Portugal itu pada aksi pertama saingan kalah mati di Lisbon 16 Februari lalu.

Iklan
Iklan

"Saya kini lega dengan prestasi City dan mula belajar untuk menikmati detik-detik ini. Sebelum ini apabila layak ke kelompok 16, saya tahu mengenai tahap kesukarannya tetapi setelah mengesahkan slot ke suku akhir, saya benar-benar gembira dan mahu meraikannya.

"Oleh itu, kini masanya untuk kembali fokus kepada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan melihat undian seterusnya,” katanya.

Iklan

Aksi di Etihad pada Khamis menyaksikan Guardiola dilihat menurunkan kebanyakan pemain utama dengan menyaksikan jentera serangan diterajui trio Raheem Sterling, Phil Foden dan Riyad Mahrez.

Bagaimanapun, trio berkenaan dilihat gagal menjaringkan sebarang gol apabila dikawal ketat benteng pertahanan Lisbon sepanjang perlawanan itu.

Iklan

Sementara itu, Guardiola berharap pemain-pemain City bersedia untuk mengharungi aksi suku akhir yang dijadualkan berlangsung pada 18 Mac ini.

Katanya, pemain juga perlu mengekalkan fokus untuk meneruskan momentum kemenangan tanpa mengira pasukan yang bakal ditemui pada suku akhir kelak.

"Tidak kira pasukan mana yang akan kita temui, pemain perlu mengekalkan fokus bagi memastikan kita melakarkan kejayaan,” katanya.