HATRIK jaringan Karim Benzema sudah cukup membolehkan Real Madrid menafikan hasrat Paris St Germain (PSG) ke suku akhir Liga Juara-Juara setelah menjinakkan gergasi Ligue 1 itu, 3-1 untuk mara dengan agregat 3-2.
Real Madrid yang beraksi di Santiago Bernabeu dengan ketinggalan dua gol selepas tewas 0-1 dalam perlawanan pertama pusingan 16 terbaik di Paris sebelum ini bermula garang pada babak pertama.
Begitupun, kem pelawat kendalian Mauricio Pochettino terlebih dahulu berada di depan hasil jaringan Kylian Mbappe pada minit ke-39 untuk membolehkan pasukannya melebarkan agregat 2-0 pada babak pertama.
Bersambung babak kedua, Carlo Ancelotti kembali memperkemaskan corak permainan dan hasilnya, Benzema meledak dengan tiga gol bermula pada minit ke-61 sebelum dua gol lagi hadir pada minit 76 dan 78.
Untuk rekod, hatrik Benzema membolehkan pemain berusia 34 tahun itu menjadi pemain tertua meledak hatrik dalam sejarah kejuaraan tertinggi kelab Eropah tersebut.
" Ya, kami bermula dengan baik, kami cuba menjaringkan gol pada babak pertama, namun PSG ternyata menguasai bola dan mendahului permainan.
"Babak kedua kami kembali bangkit dengan kekuatan mental untuk kembali dalam permainan seterusnya memenangi perlawanan ini.
"Sejujurnya dalam setiap perlawanan Liga Juara-Juara mahu pun La Liga, ia merupakan perlawanan akhir bagi Real Madrid, namun perlawanan di Santiago Bernabeu membuktikan bahawa kami masih hidup dalam kejuaraan ini," katanya.
Sementara itu, Pochettino mengakui PSG melakukan beberapa kesilapan menyaksikan pasukannya tersingkir daripada saingan tersebut biarpun tampil ke Madrid dengan bekalan selesa.
"Kami telah melakukan beberapa kesilapan, kami tidak boleh mengatakan bahawa kami tidak melakukannya. Namun perasaan yang paling teruk adalah pasukan tampil lebih baik," ujarnya
KEPUTUSAN
Real Madrid 3-1 PSG
Mbappé 39'
Benzema 61', 76', 78'
(Real Madrid mara agregat 3-2)
Manchester City 0-0 Sporting Lisbon (Manchester City mara agregat 5-0)
Real Madrid & Manchester City mara suku akhir