Di Johor, potensi sebagai pusat pelancongan perlu dibangunkan dengan menyeluruh melalui pelan perancangan yang mempunyai kesinambungan bagi tempoh 10 hingga 20 tahun.
Melalui Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA), yang dilaksanakan oleh kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, industri pelancongan telah diberi bantuan dan beberapa insentif bagi mengurangkan beban dan menyokong pemulihan sektor itu.
Antaranya, pelanjutan pengecualian cukai pelancongan dan cukai perkhidmatan ke atas penginapan yang disediakan oleh pengendali hotel dan pelanjutan galakan cukai kepada syarikat pengendali pelancongan hingga tahun taksiran 2022.
Di Johor, potensi sebagai pusat pelancongan perlu dibangunkan dengan menyeluruh melalui pelan perancangan yang mempunyai kesinambungan bagi tempoh 10 hingga 20 tahun.
Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Lama, Alias Rasman berkata, usaha pembangunan khususnya dari segi pembinaan infrastruktur perlu diperkembangkan lagi di kawasan yang memiliki nilai pelancongan yang tinggi.
Katanya, negeri Johor terutamanya di DUN Johor Lama memiliki beberapa kawasan pelancongan yang mempunyai tarikan tersendiri meliputi tempat bersejarah, pertanian dan alam semula jadi.
"Kita lihat di sepanjang Sungai Johor ini ada beberapa kawasan yang dulunya adalah tempat bersejarah.
"Contohnya, di Kampung Makam di sini adalah tempat terletaknya Makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang.
"Jadi, kenapa Melaka boleh bangunkan kota bersejarah, tapi Kota Tinggi khasnya di DUN Johor Lama ini tidak boleh?" katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, untuk kawasan Felda, bentuk pelancongan yang boleh dibangunkan adalah pembangunan rumah inap dan agropelancongan.
REAKSI
"Di Kota Tinggi ini banyak kawasan tarikan pelancongan termasuk tempat semula jadi termasuk seperti air terjun. Jadi tempat seperti ini kalau dapat dipelihara dan dibangunkan dengan baik mampu menjadi daya tarikan kepada pelancong di dalam mahupun di luar negara." Penduduk Kota Tinggi, Hazlin Hamzah, 32
"Johor ini banyak tempat-tempat bersejarah seperti kota dan makam-makam sultan kerajaan Melayu lama yang terdahulu. Jadi perlu ada usaha untuk mengkaji dan mempromosikan kawasan ini untuk menjadikannya sebagai tempat tarikan kepada pelancong." Penduduk Kota Tinggi, Mohd Fairul A Rahman, 45
"Pantai awam yang ada di Kota Tinggi seperti di Tanjung Balau dan Pantai Batu Layar perlu dibangunkan dengan infrastruktur yang diperlukan. Keperluan ini bukan sahaja semata-mata untuk menjadikan ia sebagai tempat tarikan, tetapi juga bagi menyediakan peluang perniagaan dan pekerjaan kepada masyarakat tempatan." Penduduk Kota Tinggi, Loqman Nil Hakim, 30