Buat semakan sebelum keluar mengundi

Iklan
SPR dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor telah menyebarluaskan maklumat berkaitan prosedur operasi standard (SOP) dan kempen pematuhan SOP sepanjang tempoh PRN Johor. - Foto Bernama

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pengundi yang terlibat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor disaran untuk menyemak pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan pemilih sebelum keluar mengundi pada 12 Mac ini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, pengundi turut diingatkan untuk mencatat maklumat tersebut bagi melancarkan proses pengundian.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bagi pengundi yang telah mengetahui maklumat pengundian, mereka disaran untuk terus ke saluran mengundi yang ditetapkan.

"Mereka diingatkan supaya membawa kad pengenalan dan catatan maklumat pengundian serta menunjukkannya kepada Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran.

Iklan

"Catatan maklumat pengundian itu akan memudahkan KP1 untuk membuat semakan nama pengundi serta membantu kelancaran proses pengundian pada hari mengundi,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Ikmalrudin berkata, SPR melalui aplikasi MySPR Semak meletakkan maklumat masa keluar mengundi yang digalakkan untuk setiap pengundi dan mereka dinasihatkan keluar mengundi mengikut masa yang dicadangkan.

Iklan

"Sekiranya pengundi tidak dapat hadir pada masa keluar mengundi yang digalakkan atas sebab-sebab tertentu, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari jam 8 pagi hingga 6 petang atau waktu yang telah diwartakan di pusat mengundi masing-masing.

"Namun demikian, pengundi dinasihatkan untuk tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir dan sentiasa mematuhi semua undang-undang, peraturan dan garis panduan khas pencegahan Covid-19 pada hari mengundi nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Ikmalrudin turut menasihatkan pengundi untuk menyimpan kad pengenalan dengan selamat dan tidak menyerahkannya kepada pihak lain kecuali petugas pilihan raya di pusat mengundi masing-masing.

Katanya, pengundi juga disaran membuat semakan lebih awal sebelum hari mengundi di portal semakan daftar pemilih iaitu pengundi.spr.gov.my; aplikasi MySPR Semak atau hotline SPR di talian 03-8892 7018.

"SPR menyeru kepada semua pengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi pada Sabtu ini," katanya.

Sebagai rekod, seramai 2,539,606 orang pengundi biasa daripada 2,597,742 orang pengundi berdaftar, layak mengundi pada Sabtu ini.

Daripada jumlah itu, 21,407 orang adalah pengundi awal dan 36,729 orang telah mengundi secara pos.