MERSING - Kira-kira tiga jam perjalanan dari bandar raya Johor Bahru, Endau merupakan antara destinasi peranginan di Johor yang mempunyai daya tarikan tersendiri terutama perkampungan nelayan dan pantainya yang indah.
Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau yang biasanya tenang, ketika ini agak ‘meriah’ berikutan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bermula sejak 26 Februari lalu melibatkan pertandingan lima penjuru.
Saingan sengit dilihat melibatkan penyandang kerusi DUN itu, Alwiyah Talib yang mewakili Perikatan Nasional (PN) dan Ketua UMNO Bahagian Mersing, Mohd Youzaimi Yusof mewakili Barisan Nasional (BN) yang mahu merampas kembali kerusi itu. Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Alwiyah menang atas tiket BN tetapi kemudian bertindak keluar UMNO dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Dalam kempen PRN Johor ini, kedua-dua mereka tampil dengan pelbagai idea dalam membangunkan DUN Endau dan membantu menangani masalah masyarakat setempat.
Bagi Mohd Youzaimi, 48, biarpun kali pertama bertanding dalam pilihan raya, beliau percaya BN mampu merampas semula kerusi DUN Endau yang merupakan kubu kuat parti itu sejak dahulu lagi.
"Setakat ini penerimaan pengundi amat menggalakkan. Ramai pengundi nyatakan sokongan namun mereka meletakkan syarat dan memberi amaran kepada saya supaya jangan lompat parti apabila menang nanti, sekiranya benar-benar mahu berikan khidmat terbaik kepada rakyat,” katanya.
Mohd Youzaimi berkata, pembinaan jambatan Mersing yang baharu antara perkara yang akan beliau perjuangkan sekiranya dapat merampas semula kerusi DUN Endau pada PRN kali ini.
Beliau berkata, cadangan pembinaan laluan bertingkat dan jambatan baharu bakal mengubah landskap Mersing sebagai bandar yang lebih membangun sekali gus menyelesaikan masalah kesesakan terutama ketika musim cuti sekolah dan perayaan.
"Jambatan Mersing yang menjadi jalan perhubungan Bandar Mersing dengan bandar-bandar besar yang lain perlu dibaik pulih bagi mengelakkan kesesakan pada hari perayaan. Perkara ini dah banyak kali dijanjikan pihak tertentu dan insya-ALLAH sekiranya Datuk Hasni Mohammad dipilih menjadi Menteri Besar selepas PRN ini jambatan baharu Mersing akan dapat dibina,” katanya.
Berpengalaman dalam aktiviti kemasyarakatan dan pembangunan, Mohd Youzaimi juga mahu memperjuangkan pembinaan perumahan mampu milik bagi memastikan penduduk Endau terutama pasangan yang baharu mendirikan rumah tangga dapat memiliki rumah.
Katanya, sehingga kini, golongan muda di Endau masih bergelut untuk memiliki kediaman, sedangkan populasi mereka semakin bertambah namun kawasan perumahan yang dibina di kawasan sekitar ketika ini melebihi kemampuan mereka.
Bagi Alwiyah pula, masih ramai yang belum mengenali kawasan itu sebagai lokasi riadah dan percutian keluarga, justeru perkara itu merupakan antara agenda yang akan diberi perhatian sekiranya beliau dipilih sekali lagi dalam PRN Johor, sekali gus membantu merancakkan kembali ekonomi penduduk Endau.
"Sekiranya promosi mengenai keunikan dan keindahan kawasan-kawasan ini dapat diperbanyakkan, jalan menuju ke destinasi ini dibaik pulih, kemudahan diselenggara, pasti ia dapat menarik lebih ramai pelancong untuk berkunjung ke Endau dan penduduk setempat akan mendapat faedahnya,” katanya ketika ditemui di Felda Endau.
Dikenali penduduk tempatan sebagai ‘Kak Awi’, wanita berusia 60 tahun ini juga berikrar untuk memastikan masalah penagihan dadah di Endau dapat dikurangkan melalui kerjasama rapat dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Mersing.
Dinobat sebagai Ikon AADK Mersing pada awal tahun ini, Alwiyah sering mengikuti aktiviti pemutihan yang dilaksana AADK dan bersedia mendekati serta membantu golongan penagih untuk pulih seterusnya keluar daripada kegiatan haram itu.
Kemeriahan kempen PRN di DUN Endau jelas kelihatan dengan kehadiran pemimpin utama daripada BN mahupun PN, yang hari ini menerima kehadiran Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membantu kempen Alwiyah.
Daripada BN adalah Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pengerusi Lembaga Penasihat BN Datuk Seri Najib Tun Razak yang berkempen di Endau sebelum ini, selain kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO semalam.
Kerusi DUN Endau menyaksikan pertandingan antara Alwiyah, Mohd Youzaimi, Mohammad Fakrulradzi Mahmud mewakili Pakatan Harapan, Mohd Noorhisyam Ibrahim daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan calon Bebas Ismail Don.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundian PRN Johor pada Sabtu ini. - Bernama
Ikuti perkembangan semasa #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my