KUALA TERENGGANU - Jambatan kayu di Kampung Pulau Sekati yang musnah selepas dihanyutkan air dalam bencana banjir baru-baru ini diharap dapat dibaik pulih kerana menjadi laluan alternatif menghubungkan penduduk dengan tanah besar selain tarikan utama pengunjung ke kampung itu.
Seorang penduduk, Ramlee Man, 59, berkata, jambatan berusia 30 tahun diperbuat daripada kayu tengkawang dan cengal kampung itu banyak berjasa kepada penduduk sebelum adanya jambatan baharu yang siap dibina pada 2017 bagi menghubungkan kawasan itu dengan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).
"Jambatan kayu atau lebih dikenali dengan gelaran 'retok' kayu Pulau Sekati memberi manfaat besar kepada penduduk di mana ia menjadi laluan alternatif untuk orang kampung menghantar anak-anak ke sekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Paloh yang terletak di seberang sungai (tanah besar).
"Bagi yang berbasikal ke sekolah pula hanya mengambil masa lima minit melalui jambatan ini berbanding 15 hingga 20 minit sekiranya menggunakan jambatan baharu," katanya.
Ramlee yang merupakan penduduk lama di kampung itu berkata, jambatan sepanjang kira-kira 213 meter (m) itu mengalami kerosakan teruk di mana sebahagian besar daripada strukturnya iaitu 152m musnah dihanyutkan arus deras dalam bencana banjir pada 27 Februari lalu.
"Jambatan kayu Pulau Sekati pernah beberapa kali mengalami kerosakan sebelum ini, namun tidak begitu teruk seperti yang berlaku baru-baru ini malah penduduk kampung bergotong-royong membaikinya.
"Kos membaikinya juga pernah mencecah sehingga ratusan ribu ringgit, namun tetap diusahakan memandangkan penduduk kampung begitu sayangkan jambatan ini kerana ia mempunyai 1001 nostalgia dan nilai sentimental tersendiri," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Kemusnahan jambatan kayu Pulau Sekati ketika bencana baru-baru ini mengejutkan banyak pihak sehingga menimbulkan pelbagai reaksi di media sosial.
Selain penduduk kampung, turut terkesan dengan kemusnahan jambatan itu ialah mereka yang pernah mengabadikan rakaman gambar kenang-kenangan di sepanjang jambatan.
Sementara itu, penduduk Kampung Pulau Sekati, M Sapian Abd Rahman, 41 berkata, antara kenangan tidak dapat dilupakan ialah membawa arwah ibunya yang sakit menggunakan jambatan itu.
"Banyak kenangan yang saya tak dapat lupakan antaranya waktu arwah ibu saya sakit dan perlu dibawa ke hospital. Waktu itu ambulans tidak dapat ke rumah kerana laluan agak sempit dan jarak yang jauh.
"Saya terpaksa menolak ibu saya menggunakan troli pesakit dan melalui jambatan ini manakala ambulan menunggu di seberang jalan untuk segera membawa arwah ibu saya ke hospital," katanya.
Sementara itu, M Yazik Sheffie, 37, berkata, kehilangan jambatan itu amat dirasai kerana ia merupakan lokasi riadah dia sekeluarga memandangkan ia hanya boleh dilalui motosikal, basikal serta berjalan kaki.
"Jambatan ini adalah tempat dan anak-anak beriadah setiap petang. Biasanya selepas pulang kerja saya akan bawa anak-anak beriadah di sini.
"Setiap kali melalui jambatan ini saya rasa amat tenang dan terasa jauh daripada hiruk-pikuk kota walaupun ia berada berdekatan dengan kawasan bandar," katanya.