KUALA LUMPUR - [DIKEMS KINI] Kerajaan sedang meneliti keperluan mengkaji semula harga siling untuk Kit Ujian Pantas Antigen Covid-19 (Kit Ujian Kendiri) di pasaran yang dilihat antara barang keperluan rakyat ketika ini, Dewan Rakyat diberitahu pada Khamis.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kerajaan mewartakan Kit Ujian Pantas Antigen Covid-19 sebagai barang kawalan di bawah Perintah Kawalan Bekalan 2021 pada 24 November tahun lalu dan telah dikuatkuasakan pada 1 Disember bagi memastikan keberadaan bekalan di pasaran.
Iklan
Iklan
"Kerajaan sentiasa mengambil kira keperluan dan kepentingan pengguna terutama dari aspek kecukupan bekalan di pasaran serta mendapatkan harga pelitup muka dan kit ujan kendiri pada harga yang tidak membebankan.
"Sehubungan itu, penguatkuasaan, pemeriksaan dan pemantauan oleh Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) sentiasa dilakukan ke atas item berkaitan di setiap peringkat seperti pengilang, pemborong dan peniaga,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Cha Kee Chin (PH-Rasah) mengenai adakah kementerian akan mengkaji semula dan mengurangkan harga siling pelitup muka serta kit ujian kendiri Covid-19, seterusnya menetapkan harga siling oximeter dan penyukat suhu yang menjadi barangan keperluan ketika ini.
Menjawab cadangan Kee Chin berkaitan penetapan harga siling bagi peranti oximeter dan penyukat suhu, Nanta berkata, ketetapan harga bagi peranti itu akan dilaksanakan sekiranya perlu.
Menjawab soalan tambahan mengenai usaha kerajaan dalam mengawal kualiti barangan bagi pelitup muka dan Kit Ujian Kendiri di pasaran, Nanta berkata, kementerian itu sedang memperhalusi perkara berkenaan bagi memastikan kualitinya bertaraf standard perubatan.
"Bukan sekadar harga sahaja (yang dipantau) tetapi juga kita ingin memenuhi kualiti. Perkara itu sedang kita teliti dan akan wartakan standardnya nanti.
"Berhubung dengan Kit Ujian Covid-19 tadi, sememangnya ia di bawah bidang kuasa MDA (Pihak Berkuasa Peranti Perubatan) di bawah Kementerian Kesihatan. Jadi kementerian ini akan terus bekerjasama dengan MDA untuk memantau secara berterusan berhubung perkara itu bagi memastikan peranti ini berkualiti (di pasaran),” katanya. - Bernama
Artikel Berkaitan