Kritik pemain selepas satu, dua perlawanan tidak adil: Kim Swee

Iklan
Pemain Sabah FC meraikan gol ketiga yang dijaringkan oleh Saddil Ramdani (tiga dari kanan) dalam 
saingan Liga Super, Sabah FC bertemu PJ City FC di Stadium Likas. - Foto Bernama

KOTA KINABALU - Mengkritik pemain secara keterlaluan hanya selepas satu atau dua perlawanan adalah suatu tindakan tidak adil, dan tindakan itu tidak membantu dalam membangunkan pasukan Sabah FC, kata Ketua Jurulatihnya, Datuk Ong Kim Swee.

Sebaliknya, beliau berkata, setiap pemain The Rhinos terutama pemain import harus diberi masa secukupnya menyesuaikan diri dan memperbaiki prestasi, bagi memastikan pasukan mampu mengekalkan prestasi sehingga ke akhir musim.

Iklan
Iklan

Sebagai contoh katanya, penyerang import, Neto Pessoa dikritik hebat apabila terlepas peluang menjaringkan gol melalui sepakan penalti pada perlawanan pertama Liga Super, namun mampu memperbaiki prestasinya dan menjaringkan gol dalam perlawanan (kedua) malam tadi.

"Tetapi kalau perlawanan akan datang ini, jika Neto (Pessoa) tidak menjaringkan gol adakah beliau akan dikritik lagi? Bagi saya setiap pemain harus diberi masa, walaupun mereka pemain berkualiti sesuatu pasukan memerlukan masa untuk dibentuk.

Iklan

"Saya percaya pasukan ini akan bertambah baik daripada semasa ke semasa, hanya masa menentukan, tetapi untuk mengkritik pemain hanya selepas satu atau dua perlawanan saya rasa itu tidak adil, saya rasa pemain harus diberi peluang,” katanya.

Beliau ditemui selepas perlawanan Liga Super di Stadium Likas malam tadi, menyaksikan Sabah menewaskan PJ City FC 3-1, dengan Pessoa menjaringkan gol kedua pada minit ke-35 apabila menanduk masuk sepakan sudut Baddrol Bakhtiar.

Iklan

Sementara itu, Ketua Jurulatih PJ City, P Maniam berkata, kegagalan anak buahnya mengekang pemain Sabah dalam situasi bola mati merupakan antara punca kekalahan mereka dan pasukan akan menambah baik permainan terutama daripada segi ‘kawalan pemain’.

"Pemain import terutamanya mampu bermain baik dalam situasi itu dan pemain kita telah diingatkan, tetapi penjagaan pemain tiada, bagaimanapun kita tidak boleh salahkan sesiapa. Ini satu musim yang panjang, baharu dua perlawanan dan kita akan perbaiki kelemahan untuk perlawanan selepas ini,” katanya.

Kedua-dua pasukan akan menghadapi saingan Piala FA selepas ini dengan Sabah akan menentang Respect FC pada Sabtu ini (12 Mac), manakala PJ City akan menentang Kelantan FC pada Ahad ini (13 Mac). - Bernama