Mydin Tunjong cawangan terbesar di Malaysia

Iklan
Abdul Rahman Yunos (lima dari kiri) mengetuai pemotongan riben sebagai gimik perasmian pembukaan Mydin Tunjong di sini pada Khamis.

KOTA BHARU - Syarikat pemborong dan runcit halal tempatan, Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) membuka cawangan pasar raya ke-67 di Tunjong di sini melibatkan keluasan hampir 1 juta persegi, sekali gus menjadi pasar raya Mydin terbesar di Malaysia.

Pengarah Urusannya, Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin berkata, Mydin Tunjong menelan kos sebanyak RM250 juta dan disasarkan memperoleh nilai jualan sehingga RM20 juta sebulan.

Iklan
Iklan

"Bangunan ini mempunyai tiga tingkat dan disediakan dengan fasiliti seperti bazar, surau, bangunan permainan kanak-kanak dan juga pusat jualan.

"Kita juga menyediakan lebih 400 lot sewaan perniagaan dengan menawarkan 1,000 peluang pekerjaan.

Iklan

"Kita berharap ia mampu memberi impak positif kepada perniagaan dan ekonomi domestik serta membantu usahawan dan masyarakat tempatan," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

Perasmian pembukaan pasar raya berkenaan dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Tumboh, Abdul Rahman Yunos.

Iklan
Abdul Rahman Yunos (kiri) turut mengadakan lawatan ke seluruh kawasan jualan Mydin Tunjong di sini.

Mengulas lanjut, Dr Ameer berkata, antara keunikan lain yang ada di Mydin Tunjong ialah ia mengetengahkan hasil-hasil produk keluaran usahawan-usahawan tempatan dengan adanya Bazar Siti Hawa yang terletak di aras dua bangunan berkenaan.

Katanya, dengan pembukaan cawangan berkenaan, ekonomi penduduk setempat dan negeri dijangka bakal menerima impak positif terutamanya apabila negara telah membuka sektor ekonomi sepenuhnya.

"Kita juga sasarkan jualan yang tinggi sempena pembukaan sempadan nanti dan berharap ia dapat memberi manfaat kepada semua peniaga yang ada di sini terutamanya masyarakat tempatan.

"Lebih 60 peratus daripada peniaga adalah melibatkan orang tempatan. Ini salah satu usaha kita untuk membantu perniagaan mereka dalam keadaan musim pandemik Covid-19 ini," katanya.

Orang ramai juga disediakan dengan pelbagai tawaran istimewa sempena pembukaan kali ini bermula 10 hingga 20 Mac termasuklah potongan harga dan sebagainya.

Mydin Tunjong juga turut menyediakan ruang makan dan restoran berkonsepkan medan selera dengan menyajikan pelbagai menu-menu tempatan, termasuklah pelbagai makanan lain dari seluruh negara.

Dengan suasana yang berbeza dan pelbagai perkhidmatan yang disediakan, ia dijangka mampu memberi nafas baharu kepada masyarakat untuk mendapatkan pelbagai barangan di pasar raya berkenaan.

Dr Ameer (kanan) membawa tetamu jemputan melihat bahagian tingkat atas pasar raya berkenaan.