KKMM bina lebih banyak pencawang telefon selular di Johor

Iklan
Annuar

KUALA LUMPUR - Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan membina lebih banyak pencawang telefon selular sebagai usaha membantu masyarakat di negeri Johor khususnya di Kota Tinggi.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, langkah yang selari dengan komitmen dan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu bertujuan meningkatkan taraf hidup rakyat melalui perniagaan secara dalam talian.

Iklan
Iklan

Selain itu, Annuar berkata, penyedia perkhidmatan juga diarah meningkatkan perkhidmatan khususnya di kawasan berpenduduk, selain membina struktur pemancar baharu, menaik taraf stesen pemancar sedia ada, penyambungan rangkaian gentian optik dan Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi).

"Satu daripada 13 struktur pemancar baharu telah siap dilaksanakan, manakala 12 lagi sedang dalam pelaksanaan. Untuk kerja naik taraf stesen pemancar pula, 70 telah siap dan tiga stesen lagi sedang dalam proses naik taraf,” katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Iklan

Annuar berkata, kerja-kerja penyambungan gentian optik pula menyaksikan sebanyak 3,934 premis sedang dilengkapi dengan kemudahan berkenaan, sementara 669 premis lagi dilengkapi dengan gentian optik.

Selain itu, Annuar berkata, kemudahan enam PEDi sedia ada di Kota Tinggi juga turut memberi nilai tambah dan kemudahan kepada penduduk setempat, dalam melaksanakan urusan seharian mereka.

Iklan

Menurut Annuar, setakat suku keempat tahun lalu, liputan 4G di Johor berada pada paras 98.68 peratus dan angka itu disasar akan meningkat kepada 99.14 peratus, menjelang akhir tahun ini.

"Bagi kelajuan jalur lebar pula, setakat suku keempat 2021, ia adalah selaju 28.15 megabit sesaat (Mbps) dan disasarkan meningkat kepada 35Mbps,” katanya.

Annuar berkata, KKMM beriltizam memberi perkhidmatan terbaik kepada Keluarga Malaysia di Johor, melalui pelbagai inisiatif yang direncanakan, bukan sahaja di Kota Tinggi malah kawasan-kawasan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), akan terus diberi perhatian.

"Saya berharap penduduk di Kota Tinggi akan memanfaatkan sepenuhnya kemudahan ini, demi meningkatkan taraf kehidupan seperti berniaga secara dalam talian sekali gus mempelbagaikan sumber pendapatan,” katanya. - Bernama