Jabatan Kimia analisis sampel sotong ring

Iklan
Nanta bersama Hasnol Zam Zam dan Kenneth Chuah melawat dan melihat barangan keperluan di Pasaraya Lotus's Ampang selepas pelancaran. - Foto ROSLI TALIB

KUALA LUMPUR - Jabatan Kimia sedang menganalisis sampel gegelang sotong (sotong ring) yang dijual di pasaran yang didakwa diperbuat daripada dubur atau usus babi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, beliau difahamkan Jabatan Kimia sedang membuat ujian terhadap sampel sotong ring yang telah diambil itu.

Iklan
Iklan

Katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) turut melakukan siasatan berhubung kes itu susulan aduan yang diterima.

"Kita sedar perkara ini undang keresahan kepada orang ramai di luar sana.

Alexander Nanta Linggi. - Foto ROSLI TALIB

Iklan

"Jadi kami buat siasatan. Bagaimanapun berkaitan soal halal atau tidak halal (produk itu) ia berada di bawah (bidang kuasa Jabatan Kemajuan Islam (Jakim)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan penjenamaan baharu Pasar Raya Lotus's Store (Malaysia) Sdn Bhd (Lotus's Malaysia) peringkat nasional di Pasar Raya Lotus's Ampang, di sini, pada Khamis.

Iklan

Hadir sama, Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan Presiden Lotus's, Kenneth Chuah.

Minggu lalu tular di Facebook mengenai dakwaan sotong ring yang dijual di pasaran diperbuat daripada usus babi dan dicampurkan dengan perisa sotong.

Melalu hantaran di Facebook, netizen turut meninggalkan komen meragui cop tanda halal yang dicetak di label bungkusan.

Susulan itu, Jakim turut mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya dan beberapa Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) bersama KPDNHEP sedang menjalankan siasatan berhubung perkara tersebut.

Sementara itu, Nanta memberitahu, KPDNHEP akan memantau dan menjalankan kawalan yang rapi untuk memastikan bekalan barang keperluan di pasaran mencukupi menjelang Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.

Menurutnya, menjelang Aidilfiti nanti, Skim Kawalan Harga Maksimum Musim Perayaan (SKHMMP) akan dilaksanakan sebagaimana kelaziman.

"Kita buat persediaan ini untuk mengelakkan apa-apa situasi yang membebankan rakyat," tegasnya.