SHAH ALAM - Dakyah musuh Barisan Nasional (BN) yang menuduh parti itu sebagai angkuh dan tamak kuasa hingga menyebabkan berlakunya Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah taktik ‘bohong sampai jadi’.
Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, berbeza dengan pendekatan BN yang sentiasa mengetengahkan usaha dan gerak kerja agar kestabilan rakyat dapat dikembalikan di negeri itu.
Menurutnya, BN sentiasa menjawab tohmahan mereka berdasarkan fakta yang benar dari masa ke masa.
"Barangkali orang Johor sudah nampak musuh BN mengulangi dakyah yang sama saban hari sejak kempen PRN Johor bermula. Dakyah berhubung tuduhan mereka konon PRN Melaka dan PRN Johor diadakan kerana BN angkuh serta tamak kuasa.
"Konon mahu menyelamatkan pemimpin BN yang mereka sendiri dikenakan pendakwaan mahkamah selepas menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), sedangkan rakyat tahu PRN Melaka disebabkan tindakan beberapa wakil rakyat menarik balik sokongan kepada ketua menteri.
"Sebenarnya lawan BN sedar rakyat tahu fakta itu, tetapi inilah namanya taktik 'auta 1001 malam' atau 'bohong sampai jadi'," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Khamis.
Ahmad Zahid berkata, taktik yang dilakukan musuh BN itu bertujuan untuk menanam propaganda dalam fikiran masyarakat di negeri itu.
Katanya, rakyat sedar PRN diadakan untuk mengembalikan kestabilan politik selepas kerajaannya sentiasa berdepan ugutan kerana miliki kerusi tipis di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
"Namun bangsa Johor jangan pandang rendah taktik mereka kerana inilah yang digunakan semasa PRU14.
"Sentiasalah berwaspada supaya tidak masuk perangkap yang sama buat kali kedua. Kali ini, orang Johor tetapkan hati yakini BN.
"Saya amat yakin seluruh pengundi di Johor dapat menilai dan membezakan mana intan dan kaca, mana yang sembang kari, mana yang buat kerja sampai jadi,” katanya.