'Saya nyaris diterkam harimau selepas hantar makanan pelanggan'

Iklan
Di sinilah lokasi kejadian Mohd Shafiq dikejar harimau. (Gambar kanan) Mohd Shafiq

DUNGUN - Berjaya memecut motosikal dengan laju menyelamatkan seorang pekerja penghantar makanan daripada menjadi mangsa seekor harimau belang, pada malam Rabu.

Mohd Shafiq Mamat, 27 berkata, dia nyaris diterkam harimau selepas menghantar pesanan seorang pelanggan yang tinggal di Taman Bersekutu dekat Kampung Paya Dusun.

Iklan
Iklan

"Kejadian berlaku sekitar jam 8.30 malam ketika saya dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Permint Indah yang terletak kira-kira tiga kilometer (km) dari lokasi kejadian.

"Saya tidak pasti harimau itu muncul dari mana sebab tiba-tiba sahaja sudah berada di belakang saya dalam anggaran jarak lima meter (m) dan saya terus memecut laju motosikal sejauh 100 meter.

Iklan

"Tak sangka haiwan itu sempat kejar sehingga berada betul-betul di sebelah motosikal saya. Saya sempat menoleh ke arah harimau itu dan nampak seolah-olah haiwan tersebut mahu menerkam saya," kata Mohd Shafiq menceritakan detik cemas itu ketika dihubungi Sinar Harian, pada Khamis.

Mohd Shafiq yang hampir dua tahun bekerja sebagai penghantar makanan berkata, insiden itu merupakan pengalaman paling ngeri pernah dilaluinya sepanjang bekerja sebagai penghantar makanan.

Iklan

"Sebelum ini kena kejar anjing adalah perkara biasa. Kali ni dikejar harimau agak luar biasa dan mengerikan.

"Sepanjang malam saya tidak dapat melelapkan mata memikirkan kejadian saya alami. Saya sudah rasa serik untuk melalui kawasan itu. Namun, takkan saya hendak menolak rezeki jika perlu lalu jalan itu lagi," katanya.

Menurut Mohd Shafiq, saiz harimau belang itu lebih kurang sebesar motosikal ditunggangnya.

Katanya, insiden itu sudah dalam makluman pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Taman Bersekutu dan satu laporan telah dibuat kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong berkata, kakitangan jabatan itu telah ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan dan membuat pemantauan.

Tangkap layar status dimuat naik Mohd Shafiq di laman sosial Facebook menceritakan insiden dikejar harimau di Taman Bersekutu dekat Kampung Paya Dusun, Dungun, malam Rabu.

Katanya, pada masa sama orang ramai dinasihati membuat laporan kepada Perhilitan sekiranya terserempak dengan haiwan buas bagi memudahkan tindakan.

"Saya harap kejadian sebegini akan dilaporkan segera kepada pihak Perhilitan bukan hanya dikongsi di media sosial. Lebih cepat laporan dibuat dapat memudahkan siasatan," katanya.