PRN Johor: Pesanan terakhir Dr Mahathir kepada pengundi

Iklan
Dr Mahathir

SHAH ALAM - Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad menasihatkan pengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor untuk membuat pilihan bijak setelah meneliti pelbagai isu yang diutarakan sejak berkempen dua minggu lalu.

Dr Mahathir berkata, pilihan pengundi itu nanti bukan sahaja menentukan siapa akan memerintah negeri itu, malah menjadi kayu pengukur hala tuju politik negara pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.

Iklan
Iklan

"Perkara pertama yang saya tekan adalah menentang rasuah dan menolak parti yang dipimpin oleh perasuah, penyamun dan yang tidak amanah.

"Saya setuju meneruskan kehidupan yang stabil amat penting, tetapi jika dipilih kerajaan perasuah, penyalahguna kuasa dan penyangak, kestabilan negara tidak akan tercapai.

Iklan

"Rasuah ini seperti api dalam serkam yang tidak kelihatan sangat kerosakan pada permulaan, tetapi apabila ianya menjadi nyata, sudah terlambat untuk diselamatkan,” katanya dalam sepucuk surat yang diutuskan kepada pengundi Johor pada Khamis.

Dr Mahathir berkata, perjuangan menentang perasuah, penyamun dan penyangak bukan hanya untuk golongan muda malah selagi ada hayat, ia perlu diteruskan.

Iklan

Justeru katanya, parti Pejuang ditubuh untuk menentang penjenayah dari kembali berkuasa kerana budaya buruk mereka seperti tidak tahu malu akan mempengaruhi kerajaan.

"Pengundi Johor yang tolak perasuah dan penjenayah pada PRU14 telah bersihkan negara, tentu akan sambung perjuangan mulia mereka.

"Dalam usaha ini jalan yang terbaik ialah dengan mengundi calon Pejuang yang bersih dari rasuah dan latar belakang yang buruk.

"Masa depan Johor dan Malaysia terletak di tangan pengundi yang menolak wang dan sayang kepada bangsa,” katanya.