'Kami masih mengharap bantuan banjir'

Iklan
Mahadir menunjukkan borang permohonan yang sudah diisi tiga bulan lalu

SHAH ALAM - Seorang pemandu lori menyara empat ahli keluarganya sedih dan terkilan kerana masih gagal mendapatkan bantuan mangsa banjir Selangor sehingga kini.

Iklan
Iklan

Mahadir Abas, 41, dari Taman Sri Muda, Seksyen 25 berkata, mereka belum menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) dan Bantuan Selangor Bangkit (BSB) walaupun bencana banjir sudah lama berlaku.

"Kami memang sangat berharap untuk dapat bantuan BWI dan BSB kerana duit itu sekurang-kurangnya boleh meringankan beban.

Iklan

"Lebih memeritkan apabila persiapan persekolahan tiga anak masih belum disediakan kerana kekangan kewangan selepas dilanda banjir," katanya sambil mendakwa sudah membuat permohonan sebelum ini.

Ketika ditemui di rumah mereka, bapa tiga anak itu berkata, isterinya, Noraida Md Nor, 33, pula adalah seorang suri rumah dan mereka bergantung sepenuhnya kepada pendapatannya sahaja.

Iklan

"Saya hanya dapat upah jika bekerja (bawa lori), kalau tidak maka tiada sebarang pendapatan, banjir dah lama berlaku tetapi kami masih berharap walaupun kadang kala dah rasa putus asa.

"Dengan wang bantuan itu dapatlah kami gunakan untuk menyediakan peralatan persekolahan anak-anak sebelum sekolah dibuka bulan depan, seorang anak saya belajar di kelas (pendidikan) khas," katanya.

Sementara itu, seorang ibu tunggal, Hamidah Mohd Mokhtar, 58, dari Sri Muda, Seksyen 25 kesal kerana tercicir menerima bantuan BWI dan BSB sedangkan jiran-jirannya sudah menerima bantuan.

Hamidah Mohd Mokhtar

"Saya hanya menyewa di pangsapuri ini dan tinggal di tingkat paling bawah, namun ramai jiran saya yang tinggal di tingkat atas (pangsapuri lima tingkat) semua dapat tetapi saya tidak dapat.

"Tuan rumah sendiri minta saya ambil bantuan itu kerana barang-barang saya yang rosak, malah dia mengakui tidak buat permohonan dan tidak menerima sebarang pembayaran," katanya.

Sementara itu, seorang lagi mangsa banjir dari Meru, Kamarozaman Md Sidi, 56, berkata, dia hanya menerima bantuan BSB, namun belum menerima BWI sehingga kini.

"Saya dimaklumkan bantuan BWI akan dimasukkan ke dalam akaun tetapi sudah tiga bulan berlalu bantuan itu masih belum dimasukkan ke dalam akuan," kata bapa dua anak itu.

Sementara itu, Pegawai Daerah Klang, Mohd Faizal Abdul Raji mengakui masalah keciciran berlaku dalam kalangan pemohon bantuan mangsa banjir daripada kerajaan Persekutuan dan negeri.

"Masalah tersebut kini dalam semakan dan siasatan serta akan diselesaikan oleh Pejabat Daerah dan Tanah berkenaan sebelum 31 Mac ini bagi mengelak ada yang tercicir.

"Aduan berkaitan juga boleh disalurkan terus ke Pejabat Daerah dan Tanah Klang agar tindakan sewajarnya dapat diambil dalam tempoh berkenaan," katanya.

4 Mac lalu, Pengerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, tidak dinafikan masih terdapat mangsa banjir khususnya di Shah Alam dan Klang belum menerima bantuan kerajaan Persekutuan dan negeri.

Menurut beliau, penyerahan bantuan sepatutnya diselesaikan pada akhir Februari seperti diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Selangor yang dipengerusikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada 27 Januari lalu.